Taufan Anina-Hamidah bukan taufan kategori 5, balas MPT Bersatu kepada MT Umno

Tariq Ismail PPBM 1

Tariq Ismail

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Ab Aziz Kaprawi yang mengatakan parti serpihan Umno itu kini diserang ribut kerana peletakkan jawatan membabitkan Anina Saadudin dan Datuk Hamidah Osman, pada Sabtu.

“Sebenarnyalah taufan Hamidah dan Anina di PPBM ini bukannya taufan kategori 5. Ianya lebih berumpama badai yang berkesekejapan. Selain hujan, yang lebih menakutkan manusia seperti YB Datuk hanyalah debu, petir dan guruh serta angin yang bertiup kuat.

“Tetapi apabila badai berlalu, ia membawa bersamanya segala yang tidak kukuh dan tidak teguh berdiri. Ia membasuh bersih segala kekotoran yang terpendam sekian lama. Yang tinggal hanya hujan rahmat yang membawa bersamanya harapan dan kehidupan baru setelah segalanya disucikan,” ujarnya dalam kenyataannya.

Justeru katanya, untuk Malaysia maju ke hadapan, Malaysia perlu melalui badai politik.

“Itu tidak dapat dielakkan. Segala yang terpendam akibat retorik politik lama perlu dibersihkan dan dimansuhkan buat selama-lamanya.

“Oleh kerana Umno sendiri tak mahu buang yang keruh, terpaksalah PPBM laksanakan tanggungjawab sosial ini terutama bagi memperkasakan kembali maruah bangsa Melayu.

“Memang kelihatan seperti kemelut melanda bertubi-tubi. Tetapi mereka yang beriman akan sentiasa ingat akan hikmah Allah berikan dengan setiap kesusahan. Atau YB Datuk sudah lupa?,”soalnya.

Ketua Penaja Bersatu Bahagian Sri Gading ini berkata, status yang dimuat naik Aziz di facebook   itu yang menyentuh juga mengenai Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang kembali kepangkuan Umno begitu mencuit hatinya apabila dikaitkan dengan ‘ribut’ yang melanda dalam Bersatu.

“Terus terang saya katakan bahawa nukilan di laman FB YB Datuk Aziz Kaprawi Ahad lepas berkenaan kemasukan semula Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan “ribut yang melanda PPBM” mencuit hati saya. Geleng kepala saya dibuatnya.

“Saya sememangnya mengamalkan prinsip “Live and Let Live” bak kata pepatah orang putih. Dalam ertikata lain, jangan dengki dengan orang lain, dan jangan doakan musibah ke atas orang lain.

“Perbezaan pendapat dan pilihan adalah hak kita masing-masing. Perbezaan itu tidak bermaksud satu pihak 100% baik sementara pihak yang satu lagi 100% jahat.

“Sebab itu saya geleng kepala. Beliau memomokkan Kerajaan PKR pula sekarang setelah usaha memomokkan DAP tempoh hari kurang mendapat sambutan.

“Dari percakapan beliau seolah PKR ini sama kategori dengan Hantu Kak Limah ditambahkan zalim macam Hitler dulu!

“Tapi saya tengok orang Selangor bahagia saja. Walau ada yang hidup susah tetapi dia orang tak meroyan macam menteri kita yang seorang ini.

“Atau mungkin sebab saya melihat melalui kacamata PPBM yang kononnya dilanda ribut seperti Taufan Irma dan Maria di Amerika Syarikat itu?,” soalnya lagi.