Malaysia Dateline

‘Tauke balak mungkin sudah ada kowtim dengan kerajaan negeri pimpinan Pas’

Hanya selepas sembilan hari mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi Md Nor telah mengeluarkan kenyataan yang dilihat ‘mesra’ syarikat pembalakan.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri yang menerajui kepimpinan kerajaan Pas itu berkata akan mempertimbang membuka kembali konsesi balak walaupun kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) telah menggazetkan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.

Alasan Sanusi pertimbangan itu bagi mengelak membayar tuntutan ganti rugi hampir RM1 bilion dikemukakan oleh 40 konsesi balak ekoran arahan pemberhentian semua aktiviti pembalakan tahun lalu.

Sanusi yang mengakui gaya pentadbirannya bakal mirip pentadbiran Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak juga berkata, tidak adil untuk syarikat pembalakan terbabit yang sudah membayar premium.

Walau bagaimanapun, banyak pihak mempertikai keputusan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah itu yang dibimbangi akan menjejaskan usaha kerajaan negeri sebelum ini dalam menambah saiz kawasan yang digazet sebagai tadahan air.

Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoalkan angka pampasan sebanyak RM1 bilion itu memandangkan jumlah sebenar tidaklah sebegitu besar.

“(Dari) mana mai (datang) tuntutan sampai RM1 bilion tu pula? Zaman PH (Pakatan Harapan) tak sampai dua minggu lepas pun tak ada tuntutan daripada pemilik konsesi sebanyak itu.

“Saya dah pesan dalam ucapan ketika melepaskan jawatan sebagai MB untuk tidak membuka balik kawasan balak Kedah. Belum panas kerusi MB tu dah buka balik?” bidasnya di Facebook.

Bagi tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin, sesebuah kerajaan atau pemerintah masuk ikut pintu belakang akan melakukan apa sahaja termasuk memfaraid harta kekayaan negeri dan negara untuk memenuhi nafsu mereka dan menyogok rakyat jelata.

“Dalam kes cadangan membuka semula pembalakan di Kedah, kita tidak boleh tolak kemungkinan ada tauke balak yang sudah kowtim dengan kerajaan negeri pimpinan Pas itu.

“Dan kita boleh agak siapa mereka sebab mana ada Melayu yang jadi tauke balak. Yang jadi barua dan ejen komisyen ada lah,” tegasnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, peguam Faiz Fadzil berkata, kerajaan negeri berhak membatalkan konsensi balak walaupun premium tanah sudah dibayar atas prinsip indefeasiblity of title jika hakmilik tanah belum dikeluarkan.

“Kecuali Umno yang desak, premium tanah dijadikan alasan. Manifesto membalak bersama berpisah tiada,” selar Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu.

Mukhriz ketika meninjau Hutan Simpan Ulu Muda yang merupakan kawasan tadahan air bagi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Menurut Exco Armada, Abu Hafiz Salleh Hudin pula pimpinan kerajaan mandat rakyat yang bakal kembali diingatkan agar untuk tidak meniru dan rakus menggadaikan khazanah hutan berharga di mana-mana kawasan di negara ini.

“Bibit awal kehilangan khazanah berharga ini mungkin menjadi realiti dengan masuknya kerajaan baru dan MB yang terkenal katanya dengan ‘urusan balak zaman Ustaz Azizan’.

“Semoga Allah SWT lindungi khazanah hutan secara khusus dan negeri Kedah secara umum,” katanya sambil mengimbas kembali komitmen Mukhriz yang pernah bermalam di dalam kawasan Hutan Ulu Muda pada Julai tahun lalu.

Jelas Abu Hafiz, Mukhriz telah meninjau bagaimana khazanah alam yang dipertahankannya untuk tidak diteroka bagi pengekalan rizab hutan dan tadahan air supaya bekalan air bersih tidak terjejas.

Seorang lagi Exco Armada Nasional, Ulya Husamudin menegaskan keputusan Mukhriz menolak permohonan syarikat pembalak telah membuktikan pelaburan negeri dapat meningkat tanpa mengganggu alam sekitar negeri Kedah.

“Penolakan itu juga dengan bantuan beberapa NGO termasuklah NGO Malaysian Nature Society yang telah menghantar sekumpulan saintis untuk kajian dan balik pulih,” katanya sambil mempersoal adakah balak menjadi keutamaan kerajaan negeri Pas pada masa ini.

Kreatif

Kecenderungan Sanusi yang ‘mesra’ syarikat pembalak turut mengundang reaksi warganet yang kreatif merumuskannya dalam bentuk grafik berbaur sindiran.

Antaranya, ‘carta alir’ proses kelulusan pembalakan yang melibatkan Sanusi yang memegang tujuh porfolio dalam kerajaan negeri.

Untuk rekod, kerajaan negeri Kedah ketika diterajui Pakatan Harapan (PH) telah membuktikan iltizam dalam memelihara kelestarian alam semula jadi termasuk membatalkan semua permohonan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda sejak 2018.

Bahkan, Mukhriz dalam kenyataan pada 17 Mei lalu berkata, beliau sebelum ini telah mengumumkan penambahan keluasan kawasan tadahan air di Hutan Simpan (HS) Ulu Muda sebanyak 209 peratus kepada 123,855 ekar dalam pembentangan Belanjawan Kedah 2020.

Turut diumumkan keputusan mewartakan HS Bukit Saiong seluas 20,240 ekar sebagai kawasan tadahan air serta membatalkan kelulusan untuk kuari batu di Gunung Pulai yang telah diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1996 yang selama ini menjejaskan gua-gua berpotensi untuk pelancongan.

Masalah kemusnahan HS Ulu Muda akibat aktiviti pembalakan telah lama diperkatakan dan mendapat liputan meluas media sebelum ini.

Paling dibimbangi kemusnahan HS Ulu Muda dan kawasan sekitarnya dikenali Greater Ulu Muda Forest akan mengancam bekalan air kepada kira-kira 4.09 juta penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang seperti didedahkan Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Menurut SAM, kira-kira 96 peratus air mentah di Kedah, 70 peratus di Perlis dan lebih daripada 80 peratus di Pulau Pinang adalah dari Ulu Muda.

Malah, tegas SAM, air mentah dari Ulu Muda penting untuk tanaman dua kali di sawah di tiga negeri di utara tanah air itu.

Dua tahun lalu juga, pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mndedahkan pembalakan di Ulu Muda akan menyebabkan hutan habis ditebang dalam 12 hingga 15 tahun akan datang serta bakal berdepan krisis air.

Walau bagaimanapun kerajaan negeri diterajui BN sebelum ini menafikan wujudnya aktiviti pembalakan haram di kawasan tadahan air tersebut.

Pada 2017 misalnya, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga ketika itu, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan tersebut adalah berlesen dan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.

Badrol pada masa itu mengakui memang ada aktiviti pembalakan di kawasan tersebut tetapi dakwnya dilakukan di luar rabung kawasan tadahan air di mana kawasan pembalakan adalah 12,484 hektar atau 30 peratus daripada kawasan keseluruhan Ulu Muda.