Siapa sahaja tidak mahu dapat duit sekepuk dengan modal yang sikit, awal-awal menang boleh jadi penyuntik semangat hingga akhirnya ketagih.
Bab berjudi atau main mesin ini boleh menyebabkan ketagihan malah ada yang sanggup berhutang untuk memuaskan diri.
Buat pelawak Shuib, dia membuka cerita lama dikepung gangster di Ipoh hingga selepas terjebak dalam aktiviti perjudian.
Menerusi Youtube Shuib Channel, pelawak berusia 40 tahun itu mendedahkan aib sendiri di Dol’s Podcast episod satu untuk memberi pengajaran pada orang ramai.
“Masa itu aku main dan menang sebanyak RM68,000. Bila dah menang tiba-tiba tuan kedai macam tidak nak bagi aku duit seolah-olah dia anggap aku menipu.
“Dia siap hubungi beberapa orang gengster datang ke kedai, ada dalam enam orang. Sampai sahaja mereka terus panggil ke bilik belakang tanya macam-macam perkara.
“Bila aku dengar sahaja dia cakap macam itu terus aku balas ‘kalau abang dah cakap macam itu maksudnya abang memang tidak mahu bagi duit ini.
“Tak mengapalah, saya gerak’,” katanya dalam audio siar (podcast).
Masih terbayang akan kisah dikepung gangster, Shuib nekad tinggalkan dunia kotor tersebut.
“Lillahitaala, aku cakap pada diri aku ini adalah kali terakhir aku main judi dan memang aku dah tak main lepas itu.
“Banyak duit sudah aku habiskan untuk main permainan itu dan aku pernah ‘bet’ (bertaruh) RM150 setiap pusingan.
“Dalam satu minit sebenarnya permainan itu boleh main sebanyak tiga atau empat pusingan. Jadi, bayangkan berapa ratus ringgit boleh dihabiskan dalam masa seminit?
“Bila aku main dulu, banyak dah aku rugi sampai tidak terkira berapa kerugian. Aku dulu punyalah tidak ada duit, sampai kering langsung,” jelasnya.
Pada masa sama Shuib berkongsi kehidupannya lebih tenang selepas meninggalkan hal tersebut malah banyak duit boleh disimpan padahal hidupnya dulu susah.
Baca juga: Sissy Iman tak sangka tiket konsert habis terjual sampai ada DM tak dapat beli, ingat tiada peminat