Malaysia Dateline

Tauliah mengajar semua aktivis politik ditarik balik mulai 31 Disember

Jawatankuasa tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memutuskan untuk menarik balik tauliah-tauliah yang diberikan kepada aktivis politik di Selangor berkuatkuasa 31 Disember 2021.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik mana-mana pihak di Selangor khususnya di masjid dan surau.

Menurut Abdul Aziz, baginda Sultan tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri boleh disalahguna untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Selangor serta mencemarkan agama Islam.

“Selaras dengan titah Sultan Selangor, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah di negeri Selangor dan mana-mana tauliah yang telah diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik berkuatkuasa pada 31 Disember 2021.

“Walau bagaimanapun, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

“Pengecualian ini juga adalah selaras dengan titah Sultan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz juga mengingatkan, mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu beliau menegaskan, mana-mana individu yang bertindak menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah, ia adalah suatu kesalahan di bawah perenggan 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.