Tawar gaji RM4,500 kepada peguam pelatih, netizen nasihat banyak beban kerja yang bakal digalas

Oleh KIM SYAZIE

Satu tangkap layar kenaikan tangga gaji disebuah firma guaman di Malaysia tular di media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, firma tersebut menawarkan gaji permulaan sebanyak RM 4,500 kepada pelatih yang mengikuti latihan dalam kamar atau chambering.

Penawaran gaji tersebut agak mengejutkan rakyat Malaysia sehingga ada yang menyangka firma tersebut berasal dari luar negara.

Namun begitu, sejurus tular di media sosial Twitter, beberapa individu tampil memberi amaran kepada pelajar yang berminat dengan firma tersebut.

Menurut mereka, setimpal dengan gaji yang ditawarkan, pelatih chambering mungkin tidak dapat waktu rehat yang cukup.

Tiada masalah bagi mereka yang ingin menimba pengalaman, namun pelajar perlu bersedia dari segi mental untuk berkhidmat dengan yang firma besar.

“Yang berminat, tolong ingat. Ianya datang dengan tanggungjawab yang besar. Jangan lepas masuk, merungut itu ini.

“Untuk yang masih muda, rasanya tiada masalah untuk ambil pengalaman. Cuma, pastikan mental kuat,” ciap pengguna bernama Hecticous.

“Dengan gaji sebegini, jangan sesekali mengimpikan work life balance (keseimbangan waktu kerja dan rehat) ya. Ia setimpal dengan gaji yang anda dapat,” kata pengguna lain.

Diharapkan, dengan tularnya tangkap layar tersebut, syarikat lain turut mengorak langkah dengan membayar gaji yang setimpal dengan bebanan kerja.

Baca juga: Beraksi di Thailand, Safawi tuai pujian dari rakyat negara seberang