Malaysia Dateline

Tawar hati buat kerja lain, ulama Pas rasa paling tenang ‘jaga pondok’

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik memberitahu dia kini tawar hati untuk melakukan kerja lain selain menjaga pondok miliknya dan menulis.

Pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu menyifatkan tiada yang lebih menenangkan selain berkuliah dan menulis.

“Sekarang saya faham mengapa tok-tok guru dulu senyum saja bila kita cerita pasal buka kebun, atau buka ladang ternak dan buat bisnes.

“Mereka tak komen apa-apa tapi senyum saja. Rupa-rupanya mereka tak mahu sibukkan hati dari mengingati Allah dan menjaga dirinya dari penat dengan dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu berkongsikan pengalamannya sebelum ini yang berniaga sejak zaman remaja lagi.

“Bermula dari tolong abang berniaga di pekan sehari, hinggalah milik perniagaan sendiri. Jual buku, buat travel, restoran dan silk screen.

“Bahkan pernah naik turun hotel-hotel di Makkah jual emas kepada jamaah dari Malaysia, Thailand dan Brunei.

“Antara aktiviti perniagaan itu ada yang dah tutup ada yang dihentikan sekejap dan ada yang masih kekal dan tunggu operasi selepas Covid-19 agak reda,” katanya.

Sehubungan itu, Mokhtar berpendapat agar keputusan rakan-rakannya untuk terjun dalam dunia ‘jaga pondok’ dan berkuliah diteruskan.

“Anda telah berada atas landasan yang betul dan tenang. Hal lain itu biar orang yang tiada pondok yang buat sebab aktiviti mereka juga diperlukan oleh ummah ini,” ujarnya lagi.