Sejak kebelakangan ini muncul trend “sewa diri” di Twitter dengan cara si pemberi servis menawarkan perkhidmatan sebagai “peneman raya” dengan caj bayaran serendah RM100.
Perkara ini biarpun pada awalnya dimulakan sebagai jenaka, namun semakin ramai yang berminat dengan servis sewa diri terutama wanita yang akan berpura-pura menjadi kekasih secara berbayar.
Bagaimanapun, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad tampil memperjelas bahawa trend yang dikatakan sekadar suka-suka itu adalah haram di sisi agama Islam lebih-lebih lagi apabila mengenakan sejumlah bayaran tertentu.
Ini kerana Mohamad Shukri berkata, Islam melarang umatnya membuat perkara yang tidak mempunyai makna dan sia-sia.
“Walaupun perkara itu dibuat sekadar suka-suka, namun sekiranya ia dilarang dalam agama maka hukumnya haram.
“Masyarakat gemar memandang perkara ini tidak serius, tetapi jika dibiarkan terlalu lama ia akan menjadi barah dalam masyarakat,” jelasnya seperti dilapor Sinar Harian.
Pada 27 April lalu tular di media sosial mengenai trend menyediakan perkhidmatan ‘teman beraya’ dan kekasih lakonan oleh segelintir masyarakat di negara ini.
Perkhidmatan yang diiklankan dengan bayaran serendah RM100 menerusi ciapan di Twitter itu juga mengundang rasa tidak senang ramai pihak dan disifatkan seakan menjual maruah diri.
Dalam pada itu, menurut Mohamad Shukri, masyarakat khususnya golongan muda perlu peka dan cakna dengan ajaran Islam dan menjadikan sumber agama sebagai rujukan.
“Justeru, media cetak dan elektronik memainkan peranan bagi mendidik masyarakat dan menggunakan pendekatan dakwah agar mereka tidak terus hanyut dengan perkara yang tidak memberi sebarang faedah.
“Pada pendapat saya tindakan undang-undang atau enakmen boleh dicabar dan merupakan langkah terakhir, namun pendekatan kesedaran serta dakwah lebih berkesan mengajak mereka ke arah kebaikan,” kata beliau.
Baca juga: SIbuk bercuti bersama menantu, Yusof Haslam pelik khabar angin Ira Kazar beraya di rumah