Malaysia Dateline

Tawaran baharu kepada rakyat Muhyiddin dipertikai

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mempertikai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa kerajaannya iaitu Perikatan Nasional (PN) adalah tawaran baharu kepada rakyat Malaysia.

Hanipa berkata, oleh kerana Muhyiddin menawarkan perjanjian tersebut kepada rakyat Malaysia, beliau sepatutnya mengulangi kenyataan seperti itu di Parlimen di hadapan semua anggota Dewan Rakyat.

“Muhyiddin sepatutnya berikan peluang kepada Ahli-ahli Parlimen untuk menguji sejauh mana kebenaran kenyataan itu.

“Biarkan semua Ahli Parlimen membahaskan pernyataannya di Parlimen untuk kali ini. Adakah kenyataannya itu benar atau palsu?

“Tetapi saya berpendapat tidak ada gunanya kerana kerajaan sekarang tidak terlalu berminat untuk terlibat dalam perbahasan intelektual,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 13 Mac lalu semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN yang ke-49, Muhyiddin berkata PN adalah tawaran baharu kepada rakyat Malaysia dan akan terus kekal untuk tempoh yang panjang.

Katanya, PN mahu kekal sebagai sebuah gabungan politik yang berkongsi aspirasi negara untuk generasi akan datang.

kerajaan PN katanya, berperanan penting dalam mewujudkan politik stabil, mengekalkan keharmonian kaum, menjunjung tadbir urus baik dan menegak kedaulatan undang-undang.