Malaysia Dateline

Tawaran baharu PH dan perubahan demokratik

Pertelingkahan antara parti komponen gabungan ‘anak ayam’ Perikatan Nasional memperlihatkan dengan jelas kelemahan koalisi pintu belakang ini. Nampaknya ia seperti retak menanti belah bila-bila masa sahaja, dan kerajaannya mungkin bakal tumbang.

Ini adalah antara saat paling mencabar di Malaysia, berdepan wabak Covid-19. Walaupun ada isyarat menunjukkan penularan wabak itu kian perlahan, penghujungnya masih jauh sehinggalah suatu vaksin ditemukan dan disebarkan ke serata dunia. Nyawa umat manusia berada dalam risiko.

Pun begitu, pemimpin PN terus berebut jawatan, mengutamakan keuntungan dan membelakangkan rakyat. Ini adalah peringatan yang baik buat Pakatan Harapan tentang tanggungjawab kerajaan, bagi memastikan kesejahteraan rakyat dengan mengutamakan mereka.

Jangan kita lupa, kerajaan sah PH akhirnya gagal, sebahagiannya kerana ia dicarik-carik suara pelampau di frinjan perkauman. Sehingga satu tahap, beberapa pemimpinnya tidak meletakkan kelangsungan hidup rakyat sebagai agenda utama, kerana mereka juga terjerumus ke dalam kancah politik perkauman.

Dua tahun lalu, Malaysia bertingkah dengan arus defisit demokrasi dan kebangkitan autoritarianisme. Ia menjadi sebuah kisah yang memberi inspirasi dan semangat. Dikeranakan perubahan pada 9 Mei 2018 terjadi tanpa pertumpahan darah serta berjalan lancar, ramai tidak menyedari bahawa ia merupakan perubahan demokratik julung-julung kali, dan mereka yang menyokong perubahan perlu berpakat untuk membina institusi baharu serta melawan rintangan dari ‘orde lama’.

Kerajaan bersih

Kita mesti mengutamakan rakyat. Kita mesti mendidik rakyat Malaysia bahawa pemandu e-hailing adalah seorang pemandu e-hailing, tanpa mengira kaum dan agama, dan sekiranya ada yang kehilangan kerja, tidak kira ia Melayu, Cina atau India; kita mesti membantunya; tidak kira penyokong PH atau PN.

Kita mesti berfikir bagaimana untuk menyelamatkan jiwa dan mata pencarian dengan memberi tumpuan kepada kerajaan yang bersih, bermentaliti anti-rasuah secara serius dan mahu menyediakan peluang pekerja, upah yang layak, tempat berlindung, makanan, khidmat kesihatan, pengangkutan awam, pendidikan, penjagaan alam sekitar dan sebagainya.

Tentu sekali, tiada yang dapat mengelak daripada politik; tetapi kita harus memastikan politik terus berkisar soal dasar dan kebijakan; yang pastinya lebih perlu ditekankan pasca Covid-19.

Ini adalah bidang-bidang polisi di mana kita boleh melakukan perubahan. Politik kaum dan agama adalah kekuatan pihak lawan, kita tidak boleh membiarkan diri terjerat dalam kempen pecah belah mereka.

‘Pakatan Harapan Plus’ – yang terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP bersama kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu serta parti Warisan – perlu membina gerakan nasional yang mempunyai ikatan kuat sesama rakyat Malaysia yang mahukan kerajaan bersih, institusi yang demokratik, pendekatan ekonomi yang manusiawi di saat krisis, serta penambahbaikan progresif yang tidak akan mencicirkan sesiapa.

Perubahan Demokratik

Salah satu faktor terbesar kejayaan bersejarah PH pada 2018 ialah kempen yang partisipatif dan secara ‘peer-to-peer’. Peranan para pemimpin ialah untuk memimpin sebagai calon pilihanraya, serta memberi arahan strategik melalui ucapan mereka. Rakyat lah yang merealisasikannya dengan bersatu hati menamatkan pemerintahan Barisan Nasional.

Namun, selepas perubahan kerajaan pada 9 Mei 2018, ramai yang memilih perubahan kembali kepada kehidupan seperti sediakala, mengharapkan ahli politik akan menyelesaikan masalah mereka.

Ada antaranya yang menjadi pengkritik kerajaan dalam sekelip mata, menuntut perubahan struktur dan institusi serta-merta, sementara yang lain hanya menonton dari pinggiran.

Pada ketika itu, media yang baru sahaja bebas daripada kawalan BN, memilih untuk memberi tumpuan kepada peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim, daripada menumpukan kepada proses perubahan demokratik. Isu yang penuh sensasi dan emosi itu membuatkan ramai ahli politik PH ‘melompat’ ke dalam gelanggang peralihan kuasa.

Kita gagal meyakinkan media bahawa cerita sebenar adalah roh dan semangat bangsa Malaysia pelbagai kaum menewaskan kemustahilan, biar betapa pincangnya sistem pilihanraya, untuk menghadirkan sebuah keajaiban. Media tidak banyak melaporkan tentang hakikat bahawa apabila rakyat bersatu padu, demokrasi masih mempunyai peluang.

Kita perlu semua orang sedar bahawa demokrasi Malaysia masih setahun jagung. Benih demokrasi perlu dipupuk dengan berhati-hati.

Satu lagi peluang yang tersiakan adalah sewaktu tempoh singkat sebelum rampasan kuasa bulan Februari. Disebalik menjadi pengkritik kerajaan untuk mengacah ‘neutral’, kumpulan masyarakat sivil dengan pemikiran ‘reform’ boleh tampil belajar tentang pentadbiran, berbincang dan berbahas, serta melibatkan diri bagi membina demokrasi baharu.

Jika parti-parti ‘PH Plus’ dapat kembali mentadbir, semua orang wajar ikut serta dalam pentadbiran partisipatif demi membina semula negara, dan bukan sekadar menonton dari tepian gelanggang. Kerajaan juga patut belajar untuk lebih terbuka, dan tidak berlagak seolah-olah ia tahu semua.

Jika kita benar-benar serius mahu membina semula negara, semua orang yang mahukan Malaysia yang lebih baik harus tampil ke depan bersama-sama. Jika kita – Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan; merentas semua parti dan dalam satu gerakan rakyat – betul-betul kuat, rejim hari ini akan bertambah lemah hari demi hari.

Inilah perjuangan sebenar demi demokrasi, untuk memulihkan semula mandat yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia kepada Pakatan Harapan pada tahun 2018.

Pun begitu, mereka yang berfikir Perikatan Muhyiddin akan tumbang tidak lama lagi, perlu berpijak di bumi nyata dan memeriksa keadaan.

Berpijak di bumi nyata

Pertama, adalah tidak bijak untuk mengharapkan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mudah berputus asa dengan rejim yang beliau perolehi melalui rampasan kuasa. Perdana Menteri akan melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa. Tetapi majoriti tipis satu kerusi beliau di Parlimen bererti beliau tidak rasa selamat untuk mengadakan sidang Parlimen penuh.

Kedua, pengkhianat PKR dan PH, si Azmin Ali nampaknya tiada hala tuju. Beliau sering berbuat silap dan tidak mempunyai kekuatan minda yang diperlukan mereka yang berjawatan tinggi terutamanya pada saat krisis. Lebih malang lagi, beliau mempunyai lebih ramai pengkritik berbanding sahabat, ditambah pula dengan hakikat bahawa tidak begitu ramai rakyat Malaysia yang percaya kepadanya.

Tetapi beliau akan melakukan apa sahaja untuk berpaut kepada Perikatan.

Ketiga, walaupun banyak kritikan terhadap PN, pemuka-pemuka Umno tidak akan meninggalkan gabungan sementara itu kecuali jika mereka benar-benar yakin boleh menang dalam pilihan raya umum yang telah lama mereka rancang.

Kelemahan Umno ialah, ia tidak bersatu – ia memiliki sehingga empat puak, diketuai Najib Razak, Ahmad Zahid, Hishamuddin Hussein dan mereka yang tidak berpuak seperti Mohamad Hassan.

Tetapi Najib, Zahid dan bekas orang parti itu, Tengku Adnan Mansor sedang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah. Mereka ini ibarat piala beracun bagi Muhyiddin, dan sesiapa sahaja yang berharap mahu menjadi kerajaan.

Keempat, setelah ramai pemimpinnya kini menikmati kemewahan dan manfaat menjadi kerajaan, PAS tidak mungkin berubah sokongan. Ia mempunyai terlalu banyak kepentingan dalam hubungannya dengan Umno, buat masa ini.

Kecuali jika berlaku pertelingkahan dalam agihan kerusi antara Umno dan Bersatu di Kelantan dan Terengganu – kepentingan yang tidak boleh dirunding bagi PAS – atau wujud ancaman terhadap tapak sokongan PAS di Kelantan dan Terengganu akibat hubungannya dengan kerajaan PN, PAS tidak akan mengalah.

Kelima, Gabungan Parti Sarawak adalah ‘kingmaker’ pada 29 Februari tahun ini, yang tanpanya PN tidak mampu membentuk kerajaan. Dengan kesetiaan hanya kepada Sarawak, GPS hanya akan menukar sokongannya jika ada sebab yang betul-betul kukuh.

Justeru, bagi rakyat Malaysia yang mahu melihat kembalinya harapan yang kita kecapi pada 9 Mei 2018, kita perlu lakukan lebih daripada sekadar menunggu dan makan popcorn.

Untuk memenangi semula sokongan rakyat, seluruh parti-parti PH Plus perlu kembali bergabung tenaga.

Pemimpin utama kelima-lima parti, Mahathir, Anwar Ibrahim, Shafie Apdal, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu mesti menampilkan sebuah barisan bersatu jika mahu berpeluang kembali menjadi kerajaan. Kita mesti terus mengekalkan semua Ahli Parlimen yang bersama kita, dan meluaskan koalisi.

Paling penting sekali, kita perlu meyakinkan orang ramai bahawa PH telah mendapat pengajaran, dan mempunyai kerendahan hati untuk membina pergerakan rakyat secara meluas untuk menghadirkan tawaran baharu demi memperbaiki kelangsungan hidup rakyat pasca Covid-19.