Tawaran diskaun 50 peratus tunggakan sewa PPR Johor ditunaikan

Tawaran diskaun 50 peratus tunggakan sewa PPR Johor ditunaikan

Tawaran diskaun 50 peratus bayaran tunggakan sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) yang merupakan salah satu janji manifesto Pakatan Harapan (PH) di Johor akan ditunaikan.

Hal itu disahkan oleh exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri Johor, Dzulkefly Ahmad sewaktu sidang media di Senai, Johor semalam.

Menurut Adun Kota Iskandar itu, diskaun itu diberikan kepada penyewa rumah PPR yang mempunyai tunggakan sebelum Jun 2018.

“Terdapat 8 program PPR yang melibatkan 8,279 unit yang disewakan kepada kadar sebulan RM 124 sebulan.

“Jumlah tunggakan keseluruhan sehingga 30 Jun 2018 adalah RM 1,303,363.00. Implikasi kewangan terhadap tawaran 50 peratus adalah sebanyak RM 651,681.50 yang akan ditanggung oleh kerajaan.

“Tawaran tersebut diberikan kepada unit-unit kediaman PPR sahaja tidak termasuk unit kedai atau perniagaan yang berurusan di kawasan PPR.

“Diskaun diberikan kepada mereka yang miskin tegar Pejabat Daerah, asnaf Majlis Agama Islam Johor, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pesakit kronik Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelasnya.

Dzulkefly turut menjelaskan permohonan boleh dilakukan selama sebulan bermula 1 Ogos 2018 hingga 31 Ogos 2018 dan bagi mendapatkan borang tersebut, penyewa disarankan melayari portal erumah.johor.gov.my.

Beliau juga menyatakan kelulusan permohonan akan diberikan dalam tempoh 14 hari selepas permohonan dan bayaran tunggakan diskaun tersebut perlulah dibayar selewat-lewatnya pada 31 Disember 2018.

Dzulkefly Ahmad (duduk ditengah) pada sesi bergambar bersama kakitangan perumahan.

CATEGORIES
TAGS