Malaysia Dateline

Tawaran jawatan: Sediakah SPRM siasat Muhyiddin?

Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia membuktikan mereka sebagai badan yang bebas dan berkecuali, dengan melakukan penyiasatan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia ekoran pengakuan terbaharu Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong bahawa Muhyiddin telah menjanjikan satu jawatan rasmi untuknya yang akan memberikan platform kepadanya untuk membina semula ekonomi negara.

Guan Eng turut menyokong kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam bahawa wakil rakyat yang melompat parti telah diumpan dengan politik wang.

“Tidakkah ini satu umpan habuan untuk Steven Choong melompat parti?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, apa yang berlaku mengingatkannya tentang rakaman audio Muhyiddin tahun lalu, yang didakwa menawarkan jawatan politik dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pertukaran untuk sokongan politik.

Selain itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Umno) juga pernah mendedahkan dirinya ditawar jawatan Pengerusi Petronas oleh Muhyiddin.

“Sekurang-kurangnya, SPRM perlu menyatakan secara terbuka bahawa melompat parti kerana politik wang atau melalui pertukaran habuan adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan satu amalan rasuah.

“Ironinya, Perdana Menteri telah menjadikan pencegahan rasuah sebagai salah satu komitmen utamanya dalam kerajaan.

“Namun hakikat sebenar tidak menyebelahi retorika Muhyiddin kerana Indeks Persepsi Rasuah (CPI) merosot enam tangga,” katanya.