Tawaran perlu dihadkan hingga pertengahan Februari, tegas Amanah

Tawaran perlu dihadkan hingga pertengahan Februari, tegas Amanah

Ketika PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih menggantung harap agar Pas turut bersama barisan pembangkang bagi memastikan kejayaan formula satu lawan satu bagi menghadapi BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, Amanah berpendapat tawaran itu perlu dibataskan sehingga pertengahan Februari.

Pakatan Harapan dan PPBM tidak perlu membuang masa mengajak Pas menyertai pakatan pembangkang

Ketika PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih menggantung harap agar Pas turut bersama barisan pembangkang bagi memastikan kejayaan formula satu lawan satu bagi menghadapi BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, Amanah berpendapat tawaran itu perlu dibataskan sehingga pertengahan Februari.

Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berkata, Pakatan Harapan (PH) dan PPBM telah cukup terbuka dan menunaikan tanggung jawab besar bagi menyatukan parti-parti pembangkang di negara ini.

“Masa telah tamat dan kita tidak boleh berlengah untuk merangka strategi besar menghadapi BN dalam apa kemungkinan sekalipun. Pertengahan Februari adalah garis penamat untuk PH dan PPBM membuat keputusan muktamad,” tegas Salahuddin.

Pihaknya juga bersependapat dengan para pemimpin PH dan PPBM untuk memutuskan pendirian dengan mana-mana parti yang berhasrat untuk bersama dengan gabungan besar pembangkang sebagai persediaan akhir mendepani BN dalam PRU akan datang.

Malah Amanah, jelas beliau, mengambil sikap membuka pintu rundingan dan perbincangan dengan semua pihak demi kepentingan negara dan rakyat yang mahu melihat permuafakatan parti-parti pembangkang bagi menamatkan penguasaan BN.

“Kita menyaksikan betapa terbukanya pimpinan PKR menghulurkan salam permuafakatan dan yang terkini pimpinan utama DAP pula bersedia menerima Pas dalam gabungan pembangkang demi menyelamatkan negara yang dilanda krisis terbesar akibat salah guna kuasa Najib dan BN,” ujarnya.

Amanah, tegas beliau yakin rakyat menyedari parti manakah yang konsisten menolak meja perundingan dan parti manakah yang konsisten berpadu dan bermaufakat untuk menentang BN.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PPBM Tan Sri Muhyidin Yassin mahu Pas dimasukkan dalam gabungan parti-parti pembangkang bagi menghadapi BN dalam PRU14.

“Di Kelantan ini, saya berpendirian Pas perlu dikekalkan, mungkin ada yang tidak setuju,” katanya di majlis makan malam anjuran PPBM di Kota Bharu malam tadi.

Petang sebelumnya, Muhyiddin dilaporkan Harakahdaily telah berjumpa Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Pertemuan hampir dua jam itu berlangsung di kediaman rasmi menteri besar, JKR 10.

Laporan itu menyebut antara perkara yang dibincangkan termasuklah hal yang berkaitan kerjasama bagi menghadapi PRU14 nanti.

“Kerjasama ini amat penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 14 (PRU) yang lebih mencabar,” kata Muhyiddin.

Selain itu, beliau turut memberitahu akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi PAS Febuari nanti.

Pertemuan itu sebagai lanjutan hasil pertemuan yang pernah diadakan sebelum ini bagi membentuk kerjasama yang lebih erat.

Jelasnya lagi, pertemuan yang bakal berlangsung itu sebagai susulan untuk membincangkan draf  yang telah dikemukakan sebelum ini.

Tambahnya, secara umumnya draf ke arah kerjasama telah dipersetujui, tetapi ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi.

Sehubungan itu Mahyuddin berkata, beliau akan mengambil perhatian terhadap pandangan Menteri Besar itu sebaik mungkin.

Dalam satu kenyataan berasingan semalam, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali memaklumkan partinya masih meneruskan perbincangan dan rundingan dengan Pas, PPBM dan parti-parti lain “demi membuka tirai Malaysia Baru”.
 
“Program bersama terus berjalan baik terutama di peringkat negeri Selangor dan di akar umbi demi membela nasib semua rakyat,” kata Menteri Besar Selangor itu.

TAGS