Tawaran PH dahulukan kepentingan rakyat, kata Pemuda PH Kedah

Asmirul memberikan penerangan isu semasa kepada penduduk di PDM Kuala Kedah kelmarin.

Tawaran yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) sepertimana yang terkandung dalam Buku Harapan adalah model sebuah kerajaan yang ideal dan telus serta ‘good governance’ dalam tatakelola kerajaan PH.

Malah tawaran PH mendahului kepentingan rakyat jika dibandingkan dengan tawaran Umno-BN maupun Pas yang masih ditakuk lama tanpa mempunyai apa-apa perubahan untuk membela nasib rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda PH Negeri Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris ketika turun padang menziarahi penduduk yang ditimpa musibah di Kuala Kedah kelmarin.

Menurut beliau lagi, apa yang ditawarkan dalam manifesto PH melalui Buku Harapan memberi sinar baru kepada rakyat untuk dibina semula negara ini daripada kerajaan kleptokrasi Najib, Umno-BN kepada kerajaan yang lebih baik.

“Tawaran yang memberi fokus kepada 100 hari PH memerintah, Wanita Harapan Negara dan Tawaran Anak Muda memberi keyakinan kepada rakyat untuk memberi sokongan kepada PH.

Mohd Asmirul Anuar Aris

“Di samping itu menghapuskan GST yang kini membebankan kehidupan rakyat yang membuktikan keberanian PH untuk melaksanakan perubahan tersebut dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.

“PH turut menampilkan agenda mereformasikan institusi pentadbiran dan politik supaya tidak lagi agensi kerajaan berada di bawah telunjuk Perdana Menteri (PM) atau salah guna kuasa dengan mempengaruhi agensi tersebut,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah juga berkata, agenda mereformasikan institusi pentadbiran dan politik supaya lebih profesional dan berintegriti.

“Keseluruhan manifesto PH menambat hati rakyat yang amat dahagakan perubahan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Ini adalah kerana rakyat semakin muak dengan retorik politik kerajaan pimpinan Umno-BN serta Pas yang lebih memperalatkan sentimen bangsa dan agama untuk mempertahankan Najib sebagai PM.

“Sebaliknya bukan untuk memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati serta disegani dari aspek kemajuan ekonomi, pendidikan, pembangunan, ketenteraan, teknologi dan seumpamanya,” tegasnya.

Asmirul bersama pimpinan PH Kedah menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Bukit Besar, Dun Sg. Limau kelmarin.

Jelas Asmirul lagi, perubahan yang akan dilaksanakan oleh PH apabila semua peruntukan dikembalikan kepada kementerian dan memperkasa dasar maupun polisi kerajaan mampu untuk menyelamatkan negara dalam jangka masa panjang.

Sejajar dengan itu tambahnya, sokongan dan dokongan daripada seluruh rakyat dalam negara ini amat diperlukan untuk memastikan perubahan dalam PRU14 akan datang tidak lama lagi menjadi realiti.

“Kesungguhan yang menjadi aspirasi sebenar PH untuk membawa perubahan dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara harus menjadi prioriti kepada seluruh rakyat dalam negara ini.

“Memberi mandat kepada PH akan merealisasikan segala hasrat untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN demi membawa perubahan drastik yang amat diharapkan.

Turut menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Teluk Chengai, Kuala Kedah.

“Oleh kerana itu semua pihak termasuk pimpinan yang berada pada semua tahap serta seluruh komponen PH wajib menggerakkan jentera secara total dan semaksimum mungkin bagi memastikan kemenangan dan perubahan dapat dicapai menjelang PRU14 nanti,” kata Asmirul lagi.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES