Tawaran politik Mahiaddin: AMANAH Terengganu buat laporan polis

Oleh ARIF ATAN

AMANAH Terengganu membuat laporan polis terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin hari ini.

Pengerusi AMANAH Negeri, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, kenyataan Mahiaddin baru-baru ini secara terbuka dan terang-terangan menawarkan pelbagai tawaran politik dan imbuhan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berpendapat, tawaran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dengan tujuan meraih sokongan untuk kekal sebagai Perdana Menteri itu adalah satu bentuk sogokan yang jelas menyalahi Akta SPRM 2009.

“Justeru itu, saya menggesa pihak pihak polis dapat membuat siasatan segera terhadap Mahiaddin Yassin yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen dan menghina keluhuran Perlembagaan kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Zamir Ghazali berkata, Mahiaddin perlu segera berundur agar amalan demokrasi di negara ini terpelihara.

“Tan Sri Mahiaddin, berehatlah! Laporan polis telah dibuat.

“Cubaan anda merasuah secara terang terangan jelas telah merosakkan moral anda sebagai seorang Perdana Menteri.

“Jangan rosakkan demokrasi dan negara kita. Sudah sudahlah,” kata Zamir.