Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kehilangan nyawa dan mata pencarian akibat peningkatan kematian dan jangkitan Covid-19 serta keadaan ekonomi yang mendesak bagi rakyat adalah faktor utama dalam mempertimbangkan reformasi institusi oleh Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Malaysia berada pada ketika yang sangat genting dengan rekod tertinggi 592 kematian semalam manakala jumlah jangkitan hampir mencecah angka dua juta.
“Keadaan ekonomi tidak bertambah baik dan semakin merosot bagi ramai orang dengan perniagaan ditutup, terutamanya PKS, dan pekerja kehilangan pendapatan atau pekerjaan serta keluarga yang porak-peranda.
“Di bawah krisis nasional yang begitu parah, ada keperluan mendesak untuk mencari landasan bersama bagi kebaikan semua untuk menang dalam pertempuran melawan Covid-19 dan kemelesetan ekonomi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tujuh tawaran bagi melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Menurutnya, kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberi oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi pandemik serta pemulihan ekonomi.
Tawaran tersebut antara lain meliputi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti di Parlimen dan pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat melalui pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan.
Pendekatan bipartisan
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Pakatan Harapan (PH) dan DAP tidak boleh menutup mata terhadap penderitaan rakyat memandangkan Covid-19 telah melanda setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Seorang wanita Melayu yang hamil dengan anaknya yang kelima meninggal dunia akibat Covid-19 dan meninggalkan empat anaknya yang masih kecil tanpa seorang ibu.
“Seorang lelaki Cina berusia 22 tahun dari keluarga miskin yang telah berusaha gigih untuk memastikan anak tunggal mereka tamat pengajian universiti namun kehilangannya akibat Covid-19 atau seorang profesional India berusia 34 tahun yang sihat secara tiba-tiba meninggal dunia ketika tahap oksigennya menurun, gagal bernafas dan tidak sempat mendapat katil ICU kerana kadar penggunaan ICU lebih daripada 100 peratus,” hujahnya.
Beliau menegaskan usaha menangani penderitaan rakyat perlu diutamakan walaupun mengakui wujud rasa tidak percaya sama ada janji-janji reformasi tersebut akan ditunaikan.
“Tawaran reformasi oleh Ismail perlu dipertimbangkan dengan syarat ia memiliki garis masa pelaksanaan yang ditetapkan dan disertai dengan pembaharuan dalam ekonomi dan penjagaan kesihatan awam.
“Ini tidak hanya merangkumi Pelan Pemulihan Ekonomi berjumlah RM45 bilion dan pengecualian faedah semasa tempoh moratorium pinjaman bank atau Pelan Reset Covid-19 Negara untuk mengurangkan kematian dan jangkitan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Guan Eng berpendapat perlu ada pendekatan keseluruhan masyarakat terhadap reformasi dalam politik, ekonomi dan penjagaan kesihatan awam dengan tumpuan bersama yang melibatkan masyarakat sivil untuk menang dalam pertempuran melawan Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi yang sedang tenat.
“Mengetepikan kepentingan politik untuk mengambil pendekatan bipartisan bukanlah mudah.
“Tetapi kita perlu berani berusaha demi menyelamatkan masa depan generasi muda negara,” tambah Guan Eng lagi.
Tawaran Ismail Sabri turut merangkumi pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Naib Presiden Umno itu juga menawarkan keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
Dalam masa sama, setiap RUU termasuk Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
Selain itu, ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
Transformasi kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ juga akan memberikan Ketua Pembangkang saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.