Tayang bulu ketiak ‘online’, wanita raih lebih RM47k sebulan!

Oleh MAISARAH AISYA

Penat untuk mengikut standard kecantikan wanita semasa, wanita nekad untuk biar bulu di badan tumbuh dengan semula jadi tanpa cukur.

Menurut MailOnline, pempengaruh media sosial dari Worcester, Britain menjana pendapatan lumayan mencecah £8,200 (RM47,634) sebulan.

Fenella Fox dengan pengikut sebanyak 191k di Instagram hanya perlu mengambil gambar dan menunjukkan bulu di bawah lengannya.

Dia bagaimanapun mengakui kini mengalami Gangguan Tekanan Selepas Trauma (PTSD) selepas menerima mesej yang mengancamnya.

Malah dia turut diekori lelaki penghendap (stalker) yang akhirnya memberi kesan kepada kesihatan mentalnya.

Wanita tersebut mula memuat naik gambar bulu badannya secara atas talian bermula enam hingga tujuh tahun lalu.

“Saya berhenti bersolek, mendandan rambut, bercukur dan hanya membiarkan badan saya berubah secara semula jadi.

“Saya banyak bercakap mengenai perkara itu secara online dan tidak lama selepas itu, saya dikenali ramai sebagai pempengaruh positif mengenai tubuh badan wanita,” katanya.

Namun, Fenella berkata, dia menjadi sasaran ancaman keganasan serta seksual daripada individu yang tidak dikenali.

“Salah satu daripada reaksi paling menakutkan yang saya terima adalah seseorang memberitahu bahawa saya akan digantung di negara mereka.

“Saya juga pernah dihendap stalker pada Januari tahun ini serta sering menerima karangan panjang berjela daripada individu lain secara kerap.

“Saya mengembara ke seluruh dunia, tinggal di penginapan mewah dan makan di luar bila-bila masa yang saya suka.

“Saya mempunyai banyak kebebasan kewangan tetapi pekerjaan itu telah menjejaskan kesihatan mental saya,” ujarnya.

Baca juga: Siap berinai! Lelaki bertudung dicekup polis lepas kantoi mengintai di tandas pasar raya