Tazkirah panjang buat Muhyiddin

Tazkirah panjang buat Muhyiddin

Deretan bendera Umno menghiasi kiri kanan jalan menuju ke masjid Pemanis 1

Rombongan jentera Pakatan Harapan (PH) menunaikan solat Jumaat bersama-sama rakyat di Felda Pemanis 1, Sekijang dalam Program Jeĺajah Luaskan Harapan anjuran PH Johor baru-baru ini.

Masjid yang memang menjadi tumpuan peneroka Felda di kawasan tersebut telah berubah wajah apabila menerima kunjungan PH.

Sememangnya terdapat suatu kepincangan, apabila khutbah Jumaat secara tiba-tiba telah disampaikan oleh kadi daerah yang dijemput khas.

Sekali lagi turut berlaku suatu yang pelik apabila diadakan tazkirah selepas solat Jumaat yang seolah-olehnya ditujukan kepada Tan Sri Muyiddin Yassin. Takzirah selepas solat Jumaat lebih lama daripada khutbah Jumaat.

Tazkirah itu disampaikan secara mengejut, imam yang juga khatib yang dijemput khas tadi terus memberi salam dan memulakan tazkirah selepas solat Jumaat.

Imam tersebut juga turut menegaskan dalam mukadimah bahawa tazkirah itu tidak lama, hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Namun apabila tazkirah itu bermula, ia berlangsung sehingga 45 minit.

Di masjid itu turut terselit wajah Ahli Parlimen Sekijang YB Anuar Manap. Tazkirah mengejut ini sepertinya dirancang untuk menunggu kehadiran rombongan PH ke masjid itu.

Turut berlaku, sebelum solat Jumaat itu dijalankan, masjid tersebut telah dihias dengan kibaran bendera Umno sepanjang jalan menuju ke masjid berkenaan menyambut kehadiran Muhyiddin yang merupakan bekas Timbalan Presiden Umno.

Rombongan yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu dan Aminolhuda Hassan dari AMANAH sepertinya telah terperangkap dalam suatu majlis yang memang disusun menyambut kehadiran rombongan berkenaan.

Dalam tazkirah tersebut, imam yang dijemput khas tersebut telah cuba menakut-nakutkan jemaah dengan perancangan pihak tertentu menjadikan Johor sebagai negeri ‘Jesus’. Sedangkan umum mengetahui bahawa isu negeri ‘Jesus’ adalah suatu propanda pihak tertentu untuk menang pilihan raya.

Terbuktilah bahawa kehadiran rombongan PH untuk membuat jelajah ‘Luaskan Harapan’ telah digeruni oleh pihak tertentu sehingga mereka sanggup mempergunakan apa saja cara bagi menghalang pergerakan PH di Johor ini.

Pada akhirnya, segalanya berjalan lancar apabila tazkirah tersebut tetap disambut baik oleh rombongan PH di masjid berkenaan.