Tazkirah Sayangi Malaysiaku hingga ke Mekah

Tazkirah Sayangi Malaysiaku hingga ke Mekah

Para jemaah yang sedang mendengar tazkirah yang disampaikan Aminolhuda

Dalam semangat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-61 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku terus disemarakkan kepada jemaah haji yang masih berada di tanah suci Mekah.

Exco Hal Ehwal Agama dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan menyatakan kempen tema Sayangi Malaysiaku turut diterapkan dalam tazkirah beliau kepada jemaah haji yang berada di Mekah.

Katanya, sebagai wakil pihak Kerajaan Negeri Johor sudah menjadi tanggungjawabnya untuk terus menanamkan rasa cinta dan sayang negara kepada jemaah haji yang mengerjakan haji pada tahun ini.

“Kita perlu menjaga keamanan, keharmonian dan keselamatan negara dari anasir yang ingin memporakperandakan hubungan kaum yang telah terjalin.

“Jauhi isu perkauman dan fahaman agama yang sempit lagi ekstrim supaya konsep Rahmatan Lil Alamin itu dapat dibuktikan serta dilaksanakan dengan jayanya.

“Atas pengorbanan yang dibuat oleh Nabi-Nabi dan Rasul yang menjadi tauladan bagi seluruh umat Islam untuk bersatu padu tanpa mengira kaum seperti haji yang dilakukan di sini,” ucap beliau yang masih berada di tanah suci Mekah ketika mengerjakan haji baru-baru ini.

Dalam tazkirah itu, beliau turut menekankan peri penting kepimpinan yang ditonjolkan oleh Nabi Muhammad SAW yang membawa perjuangan secara syumul.

“Nabi Muhammad SAW telah memimpin umat manusia ke arah kehidupan berpelembagaan, berkerajaan dan berdiplomatik serta itulah sebahagian dari pimpinan syumul baginda.

“Baginda SAW, juga telah mengendalikan kepimpinannya dengan menuntut perdamaian dan menggelakkan peperangan sehingga berlakunya penaklukkan Mekah dengan secara aman.

“Baginda SAW, juga telah menerapkan undang-undang yang adil dan saksama di kalangan para sahabat dan rakyat dari kalangan bukan Islam,” kata beliau.

Tazkirah yang disampaikan itu telah disempurnakan dengan solat hajat serta majlis bacaan doa memohon keamanan kepada negara Malaysia.

COMMENTS

Wordpress (0)