Malaysia Dateline

Tealive sasar tembusi pasaran Jepun

Jenama teh buih tempatan Malaysia,  Tealive, menyasar menembusi pasaran Jepun pada akhir tahun ini menerusi perkongsiannya dengan Giftee Inc yang berpangkalan di Tokyo.

Bryan Loo, Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, pemilik jenama Tealive berkata perkongsian itu adalah sejajar dengan sasaran syarikat tersebut untuk mengembangkan Tealive sebagai jenama global.

“Harapnya kami boleh menambah Jepun sebagai pasaran seterus kami pada suku akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan kerjasama Tealive-Giftee, di sini, hari ini.

Sementara itu, Giftee, penyedia perkhidmatan eGift, merancang untuk meluaskan penawarannya dengan memasukkan 10 jenama makanan dan minuman Malaysia dengan sasaran jualan kasar RM5 juta bagi kedua-dua segmen perniagaan dan pelangaan pada tahun ini.

“Giftee terbuka untuk bekerjasama dengan peruncit lain seperti kedai serbaneka, kedai kasut dan pawagam.

“Kami kini sedang berunding dengan tiga jenama makanan dan minuman untuk menjalin kerjasama. Setakat ini, dua jenama perindustrian sedang menimbang untuk meneruskan perkhidmatan eGift,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Giftee Inc, Mutsumi Ota.

Ketika ini. Giftee menyediakan perkhidmatan jualan eGift kepada jenama Sushi King dan Tealive.

“eGift adalah perkhidmatan cenderahati kasual yang membolehkan pelanggan menghantar hadiah menerusi dalam talian dengan mudah,” kata Ota.

— BERNAMA