Malaysia Dateline

Team Sukarelawan Parit Buntar, Melaka turut bantu Selangor

Team Sukarelawan AMANAH dari Parlimen Parit Buntar turut serta bersama pasukan dari Perak untuk ke Selangor bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Pasukan itu dilepaskan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

“Team ini akan ke sana bersama dengan peralatan pembersihan dan bantuan.

“Doakan mereka selamat dalam perjalanan dan selamat menjalan tugas membantu mangsa banjir di sana,” kata Mujahid ketika memberikan ucapan ringkas di majlis itu.

Selangor khasnya Shah Alam, Hulu Langat dan Klang teruk dilanda banjir yang memerlukan bantuan dari seluruh negara.

Kini banjir teruk melanda Temerloh, Pahang dan hubungan dengan Kuala Lumpur hanya boleh dilalui melalui Negeri Sembilan apabila Lebuhraya Karak dan LPT 1 terputus hubungan.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli kini berada di Temerloh bagi membantu menyelaraskan bantuan untuk mangsa banjir di sana.

Salahuddin dan Hatta mendengar taklimat bantuan banjir di bilik operasi bantuan di Temerloh.

DAPUR RAKYAT AMANAH MELAKA

Sementara itu, Team AMANAH Melaka yang diketuai Adly Zahari membantu mangsa banjir di Puchong.

Team Dapur Rakyat sibuk memasak untuk mangsa banjir dan petugas sukarelawan AMANAH Melaka.

Mereka menyediakan makanan dan petugas untuk membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Seri Aman, Puchong yang teruk dilanda banjir.

“Alhamdulillah selesai menu makan malam kami dihari pertama Dapur Rakyat Amanah Melaka sempena Misi Bantuan Banjir Selangor 2021 hari ini.

“Gorang Asam Tetel dimasak bersama dan dinikmati oleh 200 orag termasuk mangsa banjir dan petugas cuci rumah,” tulis Pengarah Komunikasi AMANAH Melaka, Zairi Suboh melalui facebook beliau.

“Semua bagi feedback sedap alhamdulillah. Insyaallah esok ada 2 menu special masakan Adly, kami akan sediakan untuk mereka. Makan tengah hari dan makan malam.

“Semoga usaha kecik kami ini dpt meringankan beban mereka Dan memudahkan misi Bantuan cuci rumah ini berjalan,” kata Zairi.

Lebih kurang 30 orang petugas dari AMANAH terlibat dalam operasi bantuan dan memasak semalam iaitu  team cuci rumah dan satu team Dapur Rakyat.