Malaysia Dateline

Teater Impian rakam 55 tahun cabaran perjuangan Kit Siang

Sebanyak 100 karya seni daripada 80 seniman tentang perjuangan politik Lim Kit Siang dipamerkan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang melahirkan rasa kagum dan terharu dengan projek Teater Impian yang mempamerkan 100 karya seni berkisarkan perjuangan politiknya daripada 80 seniman tempatan pelbagai latar kaum dan agama.

Veteran DAP berusia 80 tahun itu juga menyifatkan projek tersebut merupakan hasil kerja kasih sayang, solidariti dan idealisme selama dua tahun oleh penaja, Datuk K.Y. Chan; Ahli Parlimen Damansara merangkap kurator bersama, Tony Pua; kurator Kenny Teng dan Wendy Chang.

Galeri Seni Teater Impian itu melakar perjalanan 55 tahun Kit Siang berjuang, berhadapan dengan dugaan, cabaran yang penuh bermakna dalam usaha mewujudkan Malaysia yang diimpikannya.

Menurut Kit Siang, beliau lebih memikirkan mengenai masa depan berbanding masa lalu.

Beliau memberitahu, rakyat hari ini harus sedar akan intipati Impian Malaysia yang paling utama adalah ‘kita semua rakyat Malaysia walaupun hidup dalam kepelbagaian.’

“Untuk Impian Malaysia ini menjadi kenyataan, ia tidak boleh menjadi milik para ahli politik tetapi perlu menjadi impian bersama semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau latar wilayah,” tegasnya.

Pimpinan AMANAH dan PKR turut hadir semasa pelancaran rasmi pameran Teater Impian semalam.

Kit Siang juga melahirkan harapan agar ‘Teater Impian, Impian Malaysia’ dapat memberi semangat kepada generasi baharu agar bangkit daripada rasa kecewa setelah pengkhianatan mandat rakyat menerusi Langkah Sheraton.

Katanya lagi, misi menyatukan Malaysia perlu diteruskan bagi merealisasikan impian Bapa Malaysia supaya negara ini menjadi ‘sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu.’

Semalam, Teater Impian dengan jayanya dirasmikan pembukaannya dengan turut dihadiri pimpinan rakan Pakatan Harapan (PH) iaitu Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pameran karya seni itu bertempat di C-03-03 Aurora Place, Jalan Persiaran Jalil 1 di ibu negara.

Orang ramai boleh mengunjungi pameran tersebut bermula 31 Mac ini bermula jam 11 pagi hingga 5 petang pada setiap hari Selasa hingga Sabtu.