Malaysia Dateline

Teater Muzika Uda Dan Dara: Satu lagi keberanian meneroka daerah luar biasa

 

Bila meneliti bagaimana Dinsman bermain (baca: mendekati dan menmanfaatkan alam sebagai set semula jadi) dalam teater-teater mutakhirnya – “Teater Muzika Uda Dan Dara” (MUDD) dan “Teater Atas Pokok” (TAP), kita tentu teringat kepada karya-karya seni alam sekitar, environmental art Christo Vladimirov Javacheff (ringkasnya Christo) dan isterinya Jeanne-Claude.

Karya-karya seni alam sekitar (environmental art) Christo dan isterinya dengan ciri pembungkusan struktur-struktur besar antara lain Reichtag di Berlin, jambatan Pont Neuf di Paris dan karyanya berjudul Running Fence dengan membungkus pagar sepanjang 39 km di Daerah-Daerah Sonoma dan Marin di California.

Walaupun kos menghasilkan karya mereka cukup tinggi dan semua ‘bungkusan’ seni alam sekitar pasangan suami-isteri ini tidak lagi [email protected] untuk ditonton kecuali dokumen kerja-kerja persediaannya dalam bentuk lukisan dan kolaj, (himpunan pelbagai bahan dalam karya), Christo sangat gigih berkarya.

Dalam konteks ini, salah satu pandangan menarik Christo ialah: “Lebih banyak keberanian diperlukan untuk mencipta karya-karya yang ‘sementara’ berbanding karya-karya yang terus kekal.”

Ya, memang benar. Karya seninya memerlukan keberanian dan kesungguhan yang cukup tinggi dalam berkarya – keberaniannya sebagai seniman yang sedar sepenuhnya bahawa segala hasil karyanya yang besar-besaran (collossal) itu hanyalah sementara sifatnya, berbanding karya seni yang lain.

Dinsman pernah merakamkan keterujaan terhadap semangat dan keberanian Christo dalam menggunakan alam sebagai bahan langsung karya-karyanya. Suntikan semangat dan keberanian seorang seniman untuk keluar dari ‘daerah kebiasaan’ dalam berkarya.

Antara babak dalam teater muzikal  Uda dan Dara yang ditontonkan kepada khalayak pada Oktober lalu.

Teater di Sawah Padi (TdSP) Muzika Uda Dan Dara (MUDD) pernah dipentaskan di Sungai Besar, Selangor, dalam sebuah sawah di skim pengairan Barat Laut Selangor, salah satu daripada enam jelapang Malaysia – setelah segala usaha awalnya untuk mementaskannya di Kuala Sedeli, tempat kelahiran Usman Awang, tidak mendapat restu kerajaan negeri Johor ketika itu.

Reaksi Dinsman terhadap penolakan ini memang menarik – “Tak mengapa. Jika tujuan mementaskannya di tempat kelahiran pengarangnya tak berjaya, kita beat tempat lain.”

Bagi saya secara peribadi dengan bersikap demikian, Dinsman seolah-olah mahu menyatakan tidak mengapa jika pihak yang memiliki segala kuasa-dana dan tersangat relevan pula dengan Usman Awang, anak jati Negeri Johor – tidak menyokong kerja seni yang baginya besar makna dan kesannya itu terhadap sastera dan budaya tanah air, dia tidak berputus asa.

Dia sedar perjuangan menegakkan ‘Tekad Budaya’ belum difahami sepenuhnya, tidak difahami sepenuhnya, termasuk oleh para birokrat dan kerajaan. Sebagai seniman, dia tetap dengan tekad untuk terus berjuang.

Dalam konteks ini saya ingin menceritakan pengalamannya bersama PAKSI ketika berusaha menjadikan alam sebagai set teaternya. Jika kita masih ingat, pokok yang mencetuskan idea ‘Teater Atas Pokok’ itu terdapat dan bermula di Kampong Banda Dalam, Gombak, Selangor; tempat PAKSI memulakan program baca puisi bulanan BPMS (Baca Puisi Madrasah Seni).

Di halaman Madrasah itu di gagah berdiri sebatang pohon rendang, ramah bercabang; menunggu saat dan ketika sebelum ia diperebah kerakusan pembangunan oleh sang Pemerintah negara kita ketika itu. Entah bagaimana, segala keinginan dan hasrat Dinsman dan PAKSI mementaskan ‘Teater Atas Pokok’ di halaman Madrasah Tarbiah Banda Dalam itu tidak kesampaian.

Kata Dinsman lagi, “Tak mengapa. Kita buat tempat lain.”

Ya, jika usaha mementaskan sebuah teater di atas pokok – lambang protes sang seniman terhadap bahaya pembangunan rakus yang tidak boleh sewenang-wenangnya meratah habis sebuah kampung tradisional di pinggir Ibu Kota kita, PAKSI masih ada lagi pokok lain – pokok di tempat lain.

Dan pokok bersejarah lagi bertuah itu ditemui di Shah Alam – tempat ‘Teater Atas Pokok’ akhirnya dipentaskan.

Dua contoh di atas memaparkan pelbagai aspek perjuangan yang mampu dibawa oleh para seniman; Christo dengan ‘environmental art’nya yang dikatakan oleh sesetengah pengkritik seni membawa mesej-mesej tersirat walaupun dia menafikannya.

Dinsman dengan alam (contoh di sini, pokok dan sawah) menggabungkan keperkasaan karya-karya arwah Usman Awang untuk membawa mesej yang tidak begitu asing dalam masyarakat bertuhankan kebendaan – perjuangan melawan kelas dalam MUDD dan pembangunan yang [email protected] peduli terhadap kelangsungan alam dalam ‘Teater Atas Pokok’.

Tatkala berkarya, Dinsman sering terbentur dengan pelbagai halangan termasuk dana. Bagi saya, di antara faktor utama ialah halangan mental kerana kefahaman dan kepercayaan kental yang sekian lama berakar umbi dalam fikiran masyarakat – kerja seni tak lebih daripada hiburan buat mengisi masa lapang.

Salah satu cara untuk perbaiki keadaan ialah memahamkan masyarakat bahawa kerja-kerja seni budaya mestilah keluar daerah yang biasa iaitu seni budaya bukanlah untuk hiburan semata-mata. Seni budaya mestilah mampu mendobrak kepercayaan ini. Untuk mencapai matlamat itu, seniman budayawan mestilah yakin dan percaya mereka bertanggungjawab membangunkan fikiran masyarakat. Dan ini tidak boleh lagi dicapai dengan karya yang biasa-biasa saja.

Dinsman menyentuh aspek ini semasa menceritakan pengalamannya memulakan Grup Teater Elit (GTE) bersama arwah-arwah Sutung Umar RS dan Ajikik, pada 22 November 2019, di tingkat 31, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur. Kata Dinsman, dia ingin melihat para seniman muda lebih berani keluar dari ikatan ‘kebiasaan’ dalam berkarya. Baginya seniman muda tidak perlu takut dan bimbang meng’luarbiasa’kan pelaksanaan pemikiran mereka dalam berkarya.

Dinsman telah berkata dan membenarkan kata-katanya dengan menunjukkan contoh-contohnya. Jawapan ‘TIDAK’ oleh mereka yang belum mampu menghayati makna sebenar pembangunan untuk rakyat (dalam konteks ini pembangunan fikiran) khususnya melalui pemerkasaan bidang sastera budaya mestilah dihadapi dengan penuh yakin dan percaya oleh para seniman budayawan. Bukan sebaliknya – berputus asa.

Seniman mesti yakin dan percaya sastera dan budaya itu bukan dunia main-main. Ia dunia serius untuk membangunkan fikiran rakyat. Menjadikan tanggungjawab para sasterawan dan budayawan sekalian berkarya dengan lebih serius dengan menerokai daerah luar biasa.

MUDD, buah tangan Dinsman dan pasukannya adalah contoh mutakhir penerokaan itu. Walaupun ia telah selamat dipentaskan, terdapat lagi sekelompok mereka yang berpendapat bahawa ‘menyawahpadikan’ Padang Merbok itu masih boleh dielakkan jika MUDD itu dibiasa-biasakan saja pementasannya.

Jika para seniman dan budayawan mahu dilihat dan kelihatan di mata rakyat, khususnya oleh mata sang Penguasa si pemegang dasar dan kantung awam itu, mereka tidak boleh selama-lamanya berdiri di daerah biasa. Mereka mestilah menjadi luar biasa.

Sesungguhnya, membenarkan kata-kata dengan menunjukkan contoh-contoh pelaksanaannya telahpun dilakukan oleh Dinsman – bukan sekali malah berulang-ulang kali.

Lihatlah sajak-sajak mutakhirnya. Luahan fikiran yang kritis dan berani tidak berhenti dengan “Macam Orang Gila”. Hari ini kita temui “Buat, buat, buat dan buat, buat yang betul’.

Ya Allah, kau berkatilah hidup dan kehidupan temanku, Dinsman.
Amin ya Rabb.