Malaysia Dateline

Teater Uda dan Dara: Benarkah hujan bererti cuaca tidak baik?

Sesuatu yang tak dijangka. Langsung tak dijangka. Malah diharapkan sebaliknya tetapi yang sebaliknya yang terjadi. Yang diharapkan tak terjadi itu yang rupa-rupanya terjadi dan membawa sesuatu yang sangat bererti.

Bila wartawan tanya apakah cabaran mementaskan teater di ruang terbuka seperti di Padang Merbok itu, saya tanpa berfikir menjawab bahawa cabaran pertama ialah mendapatkan persetujuan pihak berkuasa untuk kami gunakan padang itu dan menukarnya menjadi sawah padi.

Dan cabaran kedua ialah cuaca – mengharapkan tidak ada hujan pada waktu pementasan berlangsung. Memang saya agak yakin yang hujan tak akan turun kerana dua pementasan saya sebelum ini iaitu “Teater Atas Pokok” (2016) dan “Teater di Sawah Padi (TdSP) Muzika Uda Dan Dara (1)” yang dibuat di tengah-tengah sawah di Sungai Besar Sabak Bertnam (2017), berlangsung dalam cuaca yang baik – tak ada hujan.

Dan “cuaca yang baik” itupun seolah-olah sinonim bermakna tidak ada hujan. Kalau hujan, itu maksudnya cuaca tidak baik. Tanpa berfikir pun kita menerima maksud tersebut, dan fikiran kita pun tak berfikir apa-apa lagi selain maksud itu. Misalnya kita pun tak persoalkan apakah benar hujan itu bermaksud cuaca tidak baik, dan apakah “cuaca tidak baik” itu tidak membawa kebaikan pun kepada kita?

Demikianlah al-kesahnya pasukan pelakon dan krew teater (TdSP) Muzika Uda Dan Dara di Padang Merbok sentiasa berdepan dengan hujan. (Apakah Oktober memang benar musim hujan di Kuala Lumpur?)

Kami mulai berpindah latihan ke Padang Merbok pada 19 Oktober, dari pagi hingga ke malam. Memang setiap hari hujan – samada di waktu malam, petang atau tengahari. Memang latihan selalu terganggu oleh hujan yang turun. Kalau sekadar gerimis kami terima saja dan terus latihan dalam gerimis, termasuk lima orang kanak-kanak yang turut berlakon dalam teater ini.

Kami tak boleh tunggu hingga hujan tak ada langsung, kerana banyak persiapan yang masih belum dibuat atau disiapkan. Namun ada juga waktunya kami terpaksa batalkan juga latihan, kerana hujan turun lebat, walaupun kami sedar yang waktu untuk latihan dan persiapan sudah tidak mencukupi.

Malam sebelum latihan penuh dengan kostium misalnya, terpaksa dibatalkan walaupun lighting atau sistem pencahayaan belum lagi dibuat, dan malam itulah dijadualkan akan dibuat. Namun apakan daya, hujan dan kilat yang sesekali menyambar menyebabkan pihak teknikal pencahayaan enggan menghidupkan sistemnya kerana takut disambar kilat.

Malam latihan penuh berkostium pada 23 dan 24 Oktober dibuka juga untuk tontonan tetapi hanya untuk pelajar universiti, melalui restu pihak Kementerian Pendidikan. Namun hujan yang turun menyebabkan tidak ramai pelajar yang hadir menonton; tetapi orang awam yang peminat teater puluhan juga yang hadir.

Dua orang Sasterawan Negara, A.Samad Said dan Siti Zainon Ismail, memakai baju hujan menonton TdSP Uda&Dara

Malam 24 Oktober pementasan hanya dapat dibuat separuh sahaja, walaupun ada penonton. Terpaksa dihentikan di pertengahannya kerana hujan turun lebat.

25 haribulan adalah malam pementasan pertama untuk orang awam. Padang yang dipenuhi jerami dan kelihatan seperti sawah padi di musim lepas menuai itupun basah oleh hujan. Berjalan di atasnya kasut akan basah dan terpalit lumpur. Lalu, bagaimana?

Melalui fesbuk dan media sosial serta rancangan televisyen pagi minggu itu telah kami warwarkan supaya orang ramai yang akan hadir menonton jangan mengharapkan untuk duduk di kerusi kerana kerusi tidak ada, sebaliknya mereka dan bahkan menteri-menteri pun akan menonton sambil duduk bersila di atas jerami.

Namun hujan malam itu memaksa kami berfikir kemungkinan memasang khemah untuk ruang lakon dan ruang penonton. Tetapi itu akan mengganggu pula sistem pencahayaan di ruang lakon. Maka fikiran itupun dibatalkan.

Dan keadaan padang hari itu juga tidak memungkinkan perancangan duduk bersila di atas jerami menjadi kenyataan. Kalau dibawa tikar atau apa-apa yang lain sebagai lapik atau alas, pun tak mungkin kerana tikar itu juga akan ditembusi air dan akan membasahi seluar atau kain penonton.

Kami tiada pilihan melainkan menyediakan kerusi. Petang itu hujan turun juga. Berjalan masuk ke padang ke tempat menonton sudah seperti berjalan di sawah padi. Bau aroma jerami yang basah bercampur selut menusuk hidung – ada orang suka kerana ia menghidupkan nostalgia mereka yang biasa/pernah turun ke sawah, dan ada orang yang pertama kali menghidu aroma itu.

Tan Sri Nordin Kardi dan Raja Ahmad Aminullah pun menonton dengan berbaju hujan

Malam itu dua orang menteri hadir dan ramai lagi “VIP” dan tokoh-tokoh seni-budaya dan peminat teater serta orang awam. Gerimis merembes nipis. Kami menyediakan baju hujan plastik nipis jenis ‘poncho’ kepada penonton. Kira-kira seribu atau hampir seribu orang hadir.

Di pertengahan acara hujan turun. Kelihatan beberapa orang yang membawa kanak-kanak bergegas meninggalkan tempat duduk masing-masing, tetapi tak ramai. Mungkin 10 peratus atau kurang. Yang lain tetap bertahan hingga akhir. Dan kami batalkan acara “curtain call” atau pengenalan pelakon di akhir pementasan, kerana gerimis.

Dan malam itu serta esoknya pesanan dan catatan yang banyak saya baca di watsap dan fesbuk dari kawan-kawan dan ada juga yang saya tak kenal, hampir semuanya positif dengan pengalaman baru menonton teater di dalam hujan. “Kalau tak hujan, tak basah seluar dan kaki tak pijak selut, itu bukanlah sawah padi,” kira-kira begitu kata mereka.

Maka banyaklah komen dan catatan di fesbuk yang bercerita pengalaman baru yang mengujakan itu, sambil berpesan kepada bakal penonton untuk bersedia menonton di bawah hujan.

Petang Sabtu itu hujan terus hingga ke malam, hingga ke waktu pementasan akan bermula. Saya tidak gelisah lagi melihat hujan tak berhenti. Penonton berbondong-bondong masuk ke “sawah” untuk menonton “Teater di Sawah Padi” (TdSP) Muzika Uda Dan Dara, dalam suasana dan gaya baru yang belum pernah terfikir pun sebelum ini.

Dan bilangan penonton pun nampaknya lebih ramai dari malam sebelumnya. Mereka berjalan masuk ke “sawah”. Ya, mereka berjalan “masuk ke sawah”, untuk bersama dengan para petani miskin yang sedang memperjuangkan keadilan, untuk masuk ke dalam karya Usman Awang itu. Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah!

Penonton teater tegar masih tidak berganjak walaupun hujan sudah teduh untuk terus menonton teater sehingga ke akhir pementasan.