Sawah padi yang terbentang luas di Parit Dua Barat, Sungai Besar, Selangor.
Di situlah lokasi Teater Di Sawah Padi Muzika Uda dan Dara akan dipentaskan pada 12 dan 13 Ogos ini.
Teater ini dianjurkan Ziarah Karyawan dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan Yayasan Usman Awang sebagai penaja utama.
Ia dipentaskan bersekali dengan program Ziarah Karyawan Mengenang Usman Awang yang kali ini diadakan di Sungai Besar.
Persoalan sebenar dalam Uda dan Dara
Bersesuaian dengan tema yang ingin diangkat dalam Teater di Sawah padi (TdSP) iaitu perjuangan kaum tani menentang penindasan ke atas mereka, yang tersembunyi dan sebati dalam peraturan yang menjadi amalan pihak yang berkuasa dalam masyarakat, pengarahnya Samsudin Othman memilih sawah padi sebagai latar pementasan.
Meskipun kisah Uda dan Dara, sebuah karya Sasterawan Negara Usman Awang sudah berkali-kali dipentaskan oleh pelbagai pihak, namun sudah pasti Shamsudin atau lebih dikenali sebagai Dinsman ingin membawa suatu kelainan dalam TdSP ini.
Dinsman menganggap ada persoalan yang lebih penting daripada percintaan yang perlu diangkat dalam kisah Uda dan Dara.
“Orang selalu melihat dan terpesona dengan kisah percintaan teruna-dara bernama Uda dan Dara, yang diolah begitu indah dan romantik oleh Usman Awang, dan mengabaikan bahagian selepas kematian Uda sang hero romantik itu, itulah bahagian yang mengangkat perjuangan kaum tani, yang mungkin dianggap tidak indah dan tidak romantik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
‘Aura’ Si Utih
Watak Utih akan dilakonkan oleh Ilham Sulaiman dari Indonesia, watak yang digambarkan Dinsman sebagai “perwatakan manusia Melayu yang pelik, unik, istimewa dan luar biasa”.
“Watak seorang manusia kampung yang bebas merdeka bersebati dengan alam, yang cerdik umpama seorang pujangga, yang menyembunyikan sifat pejuang di sebalik keanehan tingkah-lakunya.
“Saya melihat sebagai mewakili perwatakan Usman Awang sendiri,” katanya yang merupakan antara rakan akrab Usman.
Namun beliau mengakui tidak mudah mahu mengangkat bahagian yang kelihatan tidak romantik dalam kisah cinta terhalang Uda dan Dara yang “bersanding tak berpelamin” itu.
“Memang tidak mudah hendak mengangkat bahagian yang kelihatannya tidak romantik dan tidak muzikal ini, kerana ia akan mudah menjadi anti-klimaks kepada adegan-adegan sebelumnya.
“Namun saya melihatnya dengan kaca mata berbeza. Saya melihat ada keistimewaan dan kesenimanan Usman Awang itu sebagai ‘aura’ si Utih dalam teater ini,” katanya.
Sementara itu, Ilham ketika ditemui berkata, beliau teruja untuk berlakon dalam TdSP ini selepas melihat skrip dan latarnya.
“Saya menerima tawaran daripada Dinsman untuk berlakon sebagai Utih dan saya senang dengan wataknya. Watak orang yang merdeka,” katanya yang pernah beberapa kali terlibat dalam pementasan teater di Malaysia.
Kembali ke alam kampung
Menurut penerbit TdSP, Yassin Salleh pula, beliau ingin mengembalikan budaya dan persembahan Melayu yang dekat dengan rakyat.
“Beginilah cara orang Melayu dulu mempersembahkan seni dan budaya. Persembahan dibuat di halaman rumah di kampung, di atas tanah, orang datang hampar tikar untuk menonton. Lebih santai,” katanya.
TdSP yang memakan masa selama 1 jam 45 minit akan mempersembahkan 16 buah lagu daripada puisi-puisi Usman Awang.
Ia akan dipentaskan bermula jam 8.45 malam.
Teater ini dijangka akan turut memukau penonton selepas pementasan Teater Atas Pokok (TAP) arahan Dinsman pada April tahun lalu mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai.
Malah TAP turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai persembahan teater di atas pokok pertama di Malaysia.