Tebang pokok 500 tahun: MB dan Menteri Alam Sekitar perlu tanggungjawab

Oleh Oleh MALAYSIA DATELINE

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Alam Sekitar Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kini dipersoalkan bagaimana pokok Cengal berusia 500 tahun yang sepatutnya menjadi khazanah semula jadi negara kini ditebang untuk dijadikan balak.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Senator Datuk Raja Bahrin Shah berkata, kedua-dua mereka yang merupakan pemimpin Pas patut menjawab persoalan ini.

Kamu berdua bertanggungjawab, kata Raja Bahrin kepada Samsuri dan Tuan Ibrahim.

“Soalan yang perlu di jawab oleh kerajaan Terengganu dan Menteri Besar – adakah mereka serius dalam memeliharai warisan alam semula jadi dan alam sekitar?” tanya bekas timbalan menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Katanya, Menteri Alam Sekitar hari ini adalah Timbalan Presiden Pas dan beliau sepatutnya menasihati dengan baik kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pas.

Katanya, apabila telaga minyak telah kering dan hasil hutan dan kuari pun habis dikerjakan, apa lagi akan tinggal sebagai hasil negeri Terengganu untuk generasi muda akan datang.

“Janganlah pokok hutan belantara rakus digondolkan dan bukit kuari di ratakan habis kerana mengikut nafsu haloba manusia demi mengejar kekayaan dunia semata mata dan melupakan ajaran Islam yang sebenarnya.

“Bukankah Kerajaan Negeri Terengganu hari ini mengakui dirinya kerajaan Melayu – Islam yang berjanji membela masa depan orang Melayu dan memelihara teguh ajaran Islam mengikut sunah Nabi?” tanya beliau.

Persoalan kini berbangkit, apabila pokok balak ‘gergasi’ yang dijangka usianya sekitar 500 tahun boleh ditebang untuk dijadikan balak sebagaimana tersebar dalam media sosial baru-baru ini kini menjadi persoalan.

Seorang pakar pencinta alam sekitar, Khaidir Ahmad telah menyoal bagaimana pokok begitu besar berusia sekitar 500 tahun boleh dibenarkan untuk ditebang.

“Ia sepatutnya dipeliharai sebagai warisan khazanah alam semula jadi negara kerana jenis pokok dipercayai cengal berkenaan sudah hampir pupus,” kata Khaidir.

Khaidir berkata, berdasarkan pemerhatian peribadinya, Khaidir berkata balak itu berasal daripada pokok chengal yang dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 500 tahun.

Katanya, pokok itu seharusnya tidak ditebang dan perlu dilindungi sebagai khazanah untuk generasi akan datang memandangkan chengal hampir pupus di Malaysia.

Baru-baru ini tular gambar sebuah lori besar yang membawa sebatang balak di lori itu berhenti di sebuah plaza rehat dan rawat di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Petugas Jabatan Hutan mengukur sais balak gergasi yang ditebang dari hutan Terengganu.

Selepas itu, ia disahkan sebagai berasal dari Terengganu oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu

Pengarahnya Roslan Rani berkata, ia dikeluarkan dari kompartmen 80, Hutan Simpan Sungai Nipah, Kemaman dan diluluskan pada tahun 2017.

Jelasnya, pengeluaran itu sebenarnya dirancang untuk dibangunkan kawasan berkenaan ketika itu.

Malaysia Dateline difahamkan aktiviti pembalakan yang melibatkan pemimpin kanan kerajaan negeri sangat aktif di Terengganu sekarang ini.

Bagi Raja Bahrin, dengan berleluasanya aktiviti pembalakan meluas di Terengganu, risiko banjir besar seperti tahun 2014 mungkin berulang adalah tinggi.

Bagi beliau, soalan isu alam sekitar yang sama telah beliau ajukan dalam isu kuari dan pembalakan di pesisir pantai di Kijal pada minggu lepas tanpa apa apa jawapan dari kerajaan negeri.

“Kalau isu kuari dan pembalakan di kawasan pantai Kijal tidak dipandang penting dan pembalakan pokok gergasi 500 tahun di hutan simpan juga tidak di peliharai, apa sebenarnya sikap kerajaan Terengganu berkenaan polisi alam sekitar?” tanya beliau.

Perlu diingat, katanya, ini semua akan menjejaskan juga industri pelancongan Terengganu yang mampan dan berpotensi tinggi yang boleh memanafaatkan masa depan sebahagian besar generasi muda akan datang rakyat Negeri Terengganu.

Yang lebih menghairankan, katanya, Terengganu dengan bajet tahunan sebanyak RM 2.1 billion, begitu kaya dengan hasil minyak dan gas yang kini royaltinya telah diberi secara terus oleh Kerajaan pusat, “jadi adakah perlu kerajaan negeri bersikap rakus dan tamak memusnahkan alam sekitar dengan pembalakan dan aktiviti kuari secara begitu agresif ?”

Beliau bertanya, di manakah perginya wang royalti minyak sehinggakan alam sekitar pun sanggup dimusnahkan dengan rakus demi mengejar hasil wang tambahan.

“Agama Islam menuntut kita memelihara alam sekitar . Nabi sendiri pun melarang pokok ditebang walaupun sewaktu perang apakan lagi semasa keadaan biasa.

“Ini lah persoalan dari rakyat Terengganu hari ini kepada kerajaan Melayu Islam Pas di Terengganu,” kata beliau.