Malaysia Dateline

Tebatan banjir Sungai Golok: Janji BN tagih undi PRU14, kata PH Rantau Panjang

Pakatan Harapan (PH) Rantau Panjang mendesak supaya Barisan Nasional (BN) berhenti menabur janji untuk melaksanakan projek tebatan banjir Sungai Golok, sebaliknya perlu dilaksanakan segera sebagaimana dirancang dan akan disiapkan pada 2019.

Pengerusinya Dr Wan Shah Jihan Wan Din berkata, kerajaan BN sudah membuat empat kali janji kepada 100,000 penduduk di Rantau Pnajang, Pasir Mas dan Tumpat untuk menyediakan tebatan banjir di Sungai Golok.

Bagaimanapun sehingga kini ia masih lagi gagal dilaksanakanĀ  seperti yang dijanjikan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri Kelantan kerana ujarnya tiada peruntukan dalam Bajet 2018 yang diumumkanĀ  untuk projek pembangunan infrastruktur di negeri Kelantan khusus untuk projek tebatan banjir di negeri itu.

“Ini membuktikan kerajaan Najib tidak serius dalam Belanjawan 2018 tiada peruntukan untuk tebatan banjir di Sungai Golok, jadi kami pertikaikan kesungguhan kerajaan dalam hal ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam, dipetik berkata, kerajaan akan melaksanakan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok demi manfaat penduduk dalam usaha mengurangkan kesan bencana tersebut yang berlaku saban tahun di Kelantan.

Dr Wan Shah Jihan Wan Din

Katanya projek tebatan ini dan juga projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 adalah antara senarai projek yang akan dilaksanakan di negeri ini.

Dalam hal ini Pakatan Harapan Rantau Panjang turut mempersoalkan apakah status terkini janji-janji BN sebelum ini terhadap projek sama di Sungai Golok.

Ia termasuk kenyataan dibuat Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr James Dawos Mamit yang pernah berjanji projek tebatan banjir Sungai Golok akan bermula 2015 dan dijangka siap 2019, dan kajian sudah bermula sejak 2010 lagi. Projek dikatakan bernilai RM1.4Billion.

Kerajaan juga meluluskan sebanyak RM800 juta untuk melaksanakan dua projek penyelesaian jangka panjang masalah banjir di Kelantan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sejumlah RM300 juta disediakan untuk projek tebatan banjir fasa pertama di Sungai Golok. Kerajaan meluluskan sebanyak RM800 juta untuk melaksanakan dua projek penyelesaian jangka panjang masalah banjir di Kelantan, kata Zahid.

“Selain itu Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Dr Hamim Samuri pula berjanji projek Tebatan Banjir Sungai Golok akan bermula Februari 2017.

“Semalam, 28 Januari 2018 Dato Seri Najib Tun Razak pula berjanji kali ke 4 untuk melaksanakan projek tebatan banjir Sg Golok sejauh 26km sekali lagi,” ujarnya.

Justeru Pakatan Harapan Rantau Panjang meminta penduduk yang terlibat dengan banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat tidak terpengaruh dengan janji kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri.

“Kami memohon agar pengundi di kawasan terlibat untuk mengundi Pakatan Harapan di Parlimen Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat dan seluruh Malaysia pada PRU14 nanti supaya Kerajaan Malaysia yang baharu dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohama d segera membina tebatan banjir Sungai Golok serta memulangkan semula royalti minyak dan gas Negeri Kelantan mengikut perjanjian.

“Barulah kita dapat membangunkan semula bandar bandar baru pinggir sempadan Negara terutamanya di Pekan Rantau Panjang dan Pekan Tumpat pada masa depan untuk memberi lebih banyak peluang pekerjaan.” tegasnya.