Iktiraf ICERD: ‘Tebuk lubang dinding rumah, beri laluan nyamuk aedes membiak’

Oleh ARIF ATAN

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan pendiriannya menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menjelang himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, 8 Disember depan.

Menurutnya, keputusan untuk menerima konvensyen dunia itu hanya akan mendedahkan kemungkinan buruk pada masa akan datang.

Beliau turut menyelar pihak yang menyokong ICERD dengan mengaitkan gerakan Freemason.

“Diyakini, pengiktirafan ICERD umpama menebuk lubang dinding rumah bagi memberi laluan kepada nyamuk aedes membiak tanpa menyedari bahaya yang boleh membawa maut.

“Mereka yang memperjuangkan ICERD adalah petualang yang wajib ditentang kerana ia adalah agenda Freemason untuk merosakkan agama, bangsa dan negara,” tegasnya menerusi catatan terbaru Minda Presiden di laman Facebooknya, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan ICERD akan meletakkan kedudukan Islam sama dengan agama lain.

Menurutnya, peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan sedia ada berkaitan halangan melakukan diskriminasi terhadap bukan Islam yang berkonsepkan hak keadilan dan persamaan sebenarnya sudah memenuhi keperluan masyarakat majmuk di negara ini dan ia sememangnya jauh lebih baik berbanding ICERD.

Rakyat Malaysia, jelasnya, sudah merasai betapa keamanan wujud di negara ini dan apa juga kelemahan dalam aspek pelaksanaan, boleh diselesaikan dengan cara kita sendiri dan tidak memerlukan untuk mengubah perkara dasar.

“Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan dan hak beragama lain menjadi kontrak sosial yang sudah mencukupi mengikut nalurinya.

“Justeru, umat Islam wajib menolak konsep liberal yang menyamakan semua agama kerana sifat semua penganut agama wajib percaya bahawa agamanya sahaja yang benar, bukan menganggap agama yang dianutinya sama sahaja dengan agama lain,” katanya.

Abdul Hadi berpendapat umat Islam wajib menolak dan mengharamkan ICERD selama-lamanya kerana Malaysia mempunyai takrif yang merdeka daripada pengaruh penjajah dan jahiliah khususnya terhadap perkataan diskriminasi, hak, keadilan serta kebenaran.

Ujarnya, takrif diskriminasi, hak dan keadilan mengikut fahaman yang beragama Islam, bahkan semua yang beragama adalah berbeza dengan kalangan yang tidak beragama.

“Kita tetap berkeyakinan bahawa takrif kita adalah relevan sepanjang zaman, adil mengikut takrif kita ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

“Maka amatlah wajar diletakkan hak istimewa kepada kaum tertentu bagi menampung kelemahan yang berlaku seperti memberikan hak istimewa kepada kaum Bumiputera kerana dipinggirkan pada zaman penjajah.

“Pada masa sama, hak agama, kaum lain, golongan anak yatim serta hak istimewa wanita juga tidak dinafikan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menyeru seluruh umat Islam dan kaum Bumiputera dan semua bangsa untuk bersatu menentang agenda ICERD.

“Konsepnya yang sebenar adalah tidak beragama dan berperikemanusiaan, jadi jangan terpengaruh dengan agenda barat yang sudah meninggalkan agama serta etika kemanusiaan sebenarnya,” katanya.