Gara-gara menegur bacaan doa, anak pukul bapa sampai patah kaki kerusi

Oleh KIM SYAZIE

Seorang anak sanggup menghayunkan kerusi ke kepala bapanya yang uzur ketika sedang berbuka puasa.

Bagaikan dirasuk syaitan, kejadian itu bermula apabila sang bapa menegur lafaz doa yang dibaca oleh anaknya.

Sang bapa berpendapat, anaknya yang berusia 34 tahun itu membaca doa berbuka puasa dengan terlalu laju.

Sehingga patah kaki kerusi, sang anak memukul warga emas itu tanpa belas kasihan kerana berang dirinya ditegur.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 7.45 malam semalam.

“Suspek yang tidak berpuas hati menghayunkan kerusi meja makan ke kepala mangsa sehingga kaki kerusi itu patah.

“Seorang daripada anak mangsa kemudian meleraikan pergaduhan itu dan menghubungi pihak polis sebelum suspek ditangkap,” katanya.

Menurut Zaid, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di dahi dan tapak tangan kanan.

Suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga 27 Mac sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan / 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

Baca juga: Terkejut dengar pendedahan jujur pelancong asing ini mengenai Malaysia, ‘banyak sampah, jalan kaki susah’