Gara-gara menegur tindakan rakyat Singapura mengisi minyak di dalam tong, seorang lelaki tidak menyangka dirinya bakal kehilangan pekerjaan.
Mencari rezeki dengan menghantar makanan, lelaki itu mendedahkan bahawa akaun Grab miliknya telah digantung sejak semalam.
Tidak dapat menerima tempahan, lelaki itu bengang ‘periuk nasi’ keluarganya diganggu walaupun tidak membuat apa-apa kesalahan.
Merasa diri ditindas, ‘rider’ itu berkongsi kenyataan tersebut menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.
Menurut pemuda itu, dia telah dihubungi oleh pihak atasan Grab setelah video melibatkan warganegara Singapura itu tular di media sosial.
Grab dikatakan menerima laporan bahawa lelaki itu mengeluarkan ‘screw driver’ atau pemutar skru untuk melawan warga asing itu.
Mendakwa dirinya tidak bersalah, lelaki itu meminta pihak berkaitan untuk memeriksa kebenaran menerusi rakaman litar tertutup (CCTV).
“Grab telah menggantung (aplikasi) sejak pukul 6 petang hari ini (semalam), saya segera menghubungi perkhidmatan pelanggan.
“Selepas 20 minit, saya dihubungi pihak Grab memaklumkan ada laporan saya mengeluarkan skru driver untuk melawan. CCTV ada, boleh periksa.
“Begitulah kita di Malaysia. Saya rasa tak kalah pun, tak takut. Akhirnya kita mati juga. Begitulah nasib rakyat Malaysia,” luahnya.
Terdahulu, tular rakaman seorang rakyat Singapura mengamuk setelah ditegur oleh penghantar makanan di sebuah stesen minyak.
Membuka but kenderaan, warga asing itu turut mengeluarkan pengunci stereng sebagai provokasi mahu memukul ‘rider‘ Grab berkenaan.
Berjaya dileraikan oleh pihak berkuasa yang berada di tempat kejadian, pihak polis malah bertindak meminta kad pengenalan diri (IC) daripada rider itu.
Baca juga: Pengemis warga asing buat hal! Berani tolak kerusi kedai makan selepas tak dilayan