Malaysia Dateline

Teguran Jabatan Audit, FINAS diminta beri taklimat penuh

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil akan mendapatkan taklimat penuh daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berhubung segala masalah dihadapi perbadanan itu serta tindakan yang boleh diambil.

Fahmi berkata demikian ketika memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet hari ini telah menyentuh berkenaan teguran Jabatan Audit Negara terhadap FINAS tentang beberapa isu berkaitan dana yang disampaikan kepada penerima terutama dari tahun 2017 hingga 2021.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memperincikan teguran tersebut secara khusus kerana perkara itu perlu dibentang di Parlimen terlebih dahulu, namun secara umum berkata ia berkaitan pembaziran serta pemberian dana kepada pihak yang mungkin tidak patut terima, selain melibatkan pembayaran tetapi projek tidak siap.

“Jadi saya harap dalam masa yang terdekat kami akan lantik pengerusi lembaga bagi FINAS serta ahli-ahli lembaga yang baharu dan kami harap mereka akan berusaha untuk memperbaiki isu-isu yang telah dibangkitkan.

“Pada masa sama saya lihat Ketua Pegawai Eksekutif FINAS pada waktu ini serta pasukan sedang meneliti dan berusaha untuk mengatasi masalah, cuma saya akan minta satu sesi taklimat penuh untuk saya faham apakah semua kebobrokan yang dimaksudkan dan sekiranya pihak FINAS ingin (mencari penyelesaian) apakah tindakan-tindakan yang akan diambil,” katanya ketika hadir untuk tayangan eksklusif filem Duan Nago Bogho di sini, malam ini.

Fahmi juga berharap masalah berkenaan tidak berulang lagi kerana ramai pembikin filem menaruh harapan kepada FINAS dalam menyalurkan dana kepada mereka.

“…dan harapan itu kita kena pastikan bila FINAS memberi bantuan, menyalurkan dana yang dijanjikan, filem-filem yang perlu dibuat itu dilaksana dan sekiranya disampaikan kepada yang tak patut, kita kena teliti supaya tak berulang di masa depan,” katanya.

Beliau berkata niat bagi mengetahui masalah sebelum ini bukan untuk ‘witch hunt’ tetapi untuk belajar daripada kesilapan, memperbaiki keadaan dan memastikan pada masa depan, duit rakyat terutama dalam bidang kreatif seni perfileman dapat dimaksimumkan.

“Saya sangat gembira kerana filem yang akan kita tonton hari ini telah menerima dana DKD (Dana Kandungan Digital) sebanyak RM700,000 dan juga dana bantuan pemasaran sebanyak RM120,000.

“Saya harap FINAS akan meneliti mana-mana filem yang sepatutnya telah siap disegerakan dan kalau tak, saya nak tahu kenapa dan mungkin kita kena ambil tindakan yang patut nanti. Jadi majulah seni filem untuk negara,” katanya.

— BERNAMA

Baca juga : Tol percuma 20 dan 21 Jan, ini yang perlu anda tahu