Teguran kepada pemimpin

Teguran kepada pemimpin

 

Masih teringat kata Ketua Pemuda UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) Khairy Jamaluddin yang mengakui kesal kerana tidak berterus-terang dengan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berhubung penolakan akar umbi terhadap parti itu.

Katanya, ia berlaku selepas bekas Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, disingkir daripada kepemimpinan parti.

“Selepas Muhyiddin dan Shafie dikeluarkan, tiada siapa mahu mengakui ada masalah dalam UMNO. Itu kesilapan besar di pihak kita.

“Apakah ada isyarat? Ya, isyaratnya jelas tetapi kita tidak menyedarinya,” katanya dalam wawancara bersama Channel News Asia (CNA).

Datuk Seri Najib Razak berkata, Khairy boleh menyuarakan kebimbangannya mengenai kerajaan pimpinannya tanpa perlu takut tindakan balas dikenakan terhadapnya, tetapi ketua Pemuda Umno itu tidak berbuat demikian.

Mana-mana ahli parti boleh menyuarakan rasa tidak puas hati mereka atau pandangan berbeza melalui saluran dalaman, katanya dalam satu wawancara media hari ini.

Najib berkata, beliau sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka di mana orang bebas menyuarakan komen dan pandangan berbeza kepadanya.

“Saya agak terbuka mengenainya, cuma saya mahu ia dilakukan secara tertutup kerana sebagai anggota kerajaan, kita tidak harus menyerang satu sama lain,” katanya seperti dipetik Malay Mail hari ini.

Apa yang berlaku ialah kita menjadi delusi; kita khayal dalam Kool-Aid sendiri dan hilang pedoman,” sehingga menyebabkan Barisan Nasional hilang kuasa pemerintahan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Najib bagaimanapun berkata, Khairy bebas menemui dan memberitahunya: “Saya fikir tuan salah haluan, atau ada sedikit masalah, atau ada perkara yang tidak diatasi dengan cara betul.”

Katanya: “Saya boleh putuskan kemudian, sama ada nak terima atau tidak. Beliau tidak berbuat demikian. Maksud saya, beliau mengaku tidak berbuat begitu.”

Beliau mendakwa tidak pernah memaksa mana-mana ahli BN menerima pandangannya, sebaliknya hanya menekankan keperluan untuk mengikut pendirian parti semata-mata kerana disiplin “kerana jika anda menyerang kepimpinan secara terbuka, maka ia berlawanan dengan disiplin parti”.

Seolah-olah Najib yang mempersalahkan Khairy pula yang tidak menegurnya. Apakah ini main lawak jenaka ke?

Apakah yang berlaku sudah berlalu menyesal pun tidak berguna. Apakah Najib akan menerima teguran Khairy. Bayangkan Muhyiddin dan Shafie yang menegur dan mempersoalkan pun dibuang dari Umno.

Tentu pada masa itu Khairy tidak berani untuk menegur Najib seperti yang dilakukan Muhyiddin dan Shafie. Kedua mereka berani menanggung risiko dan cabaran dengan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Dalam pidato pertamanya saat Khalifah Abu Bakar Assiddiq ra dilantik menjadi pemimpin umat, ia tidak menyatakan rasa syukur, apalagi terlihat gembira atau mengadakan pesta.

“Saudara-saudara, aku telah diangkat menjadi pemimpin bukanlah karena aku yang terbaik diantara kalian semuanya, untuk itu jika aku berbuat baik bantulah aku, dan jika aku berbuat salah luruskanlah aku. Sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan kebohongan itu adalah pengkhianatan. ‘Orang lemah’ di antara kalian aku pandang kuat posisinya di sisiku dan aku akan melindungi hak-haknya. ‘Orang kuat’ di antara kalian aku pandang lemah posisinya di sisiku dan aku akan mengambil hak-hak mereka yang mereka peroleh dengan jalan yang jahat untuk aku kembalikan kepada yang berhak menerimanya.

Janganlah diantara kalian meninggalkan jihad, sebab kaum yang meninggalkan jihad akan ditimpakan kehinaan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Patuhlah kalian kepadaku selama aku mematuhi Allah dan Rasul-Nya. Jika aku durhaka kepada Allah dan Rasul-Nya maka tidak ada kewajiban bagi kalian untuk mematuhiku.

Kini marilah kita menunaikan Solatt semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan Rahmat-Nya kepada kita semua.”
Kata-katanya amat mendalam maknanya. Beliau r.a menyatakan menjadi pemimpin sebagai amanah apalagi hendak mengucapkan syukur atau mengadakan kenduri. Dalam ucapannya beliau meminta rakyat menegurnya jika berbuat salah kerana katanya sifat jujur adalah amanah.

Kata Syaidina Abu Bakr yang paling menyengat ialah pembohongan itu adalah suatu pengkhianatan.

Ucapan unik Syaidina Abu Bakr yang dilihat memberikan keutamaan kepada rakyat dapat dilihat kepada ungkapan “Orang lemah’ di antara kalian aku pandang kuat posisinya di sisiku dan aku akan melindungi hak-haknya. ‘Orang kuat’ di antara kalian aku pandang lemah posisinya di sisiku dan aku akan mengambil hak-hak mereka yang mereka peroleh dengan jalan yang jahat untuk aku kembalikan kepada yang berhak menerimanya”.

Rakyat telah pun menjalankan tanggungjawab mereka dengan menegur para pemimpin BN khususnya Umno tetapi telinga mereka pekak dan tuli degil tidak medengar amaran rakyat melalui media sosial. Rakyat memang tidak mendapat capaian kepada media arus tradisional kerana semua telah diboloti oleh BN.

Mungkin juga kepimpinan elit BN merasakan mereka akan terus dapat mengekalkan kuasa maka buat apa mendengar teguran rakyat kerana bagi mereka rakyat akan mengundi BN juga akhir.

Maka rakyat sudah menjatuhi hukum pada 9 mei lepas disebabkan keangkuhan dan kebongkakan para pemimpian Umno khususnya. Malah mereka terus menampakkan kebongkakan dalam perebutan kuasa di Perlis.

Ada masanya teguran adalah kasar dan ada juga yang bukan menegur tetapi menghentam dan memaki hamun maka itu tidaklah dianggap sebagai teguran atau kritikan.

Mungkin juga rakyat dah marah sangat sebab itulah ia bertukar menjadi kritikan pedas tanpa bukti sehingga membawa kepada kutukan dan makian.

Para pemimpin Pakatan Harapan (PH) harus mendengar pandangan, pendapat, kritikan dan teguran rakyat ke atas mereka. Jangan menerima teguran pada tahun pertama sahaja kerana pada tahun-tahun berikutnya apabila sudah lunak dengan kuasa mereka terus memekakkan telinga dan membisu di atas teguran rakyat jelata.

Tidak salah untuk menegur pemimpin jika mereka dilihat menyimpang daripada usaha membangunkan rakyat dan negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun kata beliau, teguran harus dilakukan secara beradab dan kena pada masanya selain mengemukakan pendapat yang boleh dipertimbang pemimpin.

“Saya fikir pemimpin juga harus terbuka kepada sebarang teguran. Ketika zaman saya (sebagai Perdana Menteri), saya ditegur Tengku Razaleigh Hamzah dan (Tun) Musa Hitam, serta ramai lagi yang marah dengan saya,” katanya kepada pemberita di Johor Bahru semalam dalam liputan Bernama pada 2012 lalu.

 

*Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unisel

CATEGORIES
TAGS