Malaysia Dateline

Teguran keras Syed Husin: Benarkah Mahathir kembali autokratik?

Ahmad Lutfi Othman(Bahagian 1)

Semasa Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai calon perdana menteri oleh konvensyen Pakatan Harapan, empat bulan sebelum PRU14, saya menerimanya dengan berbelah bahagi.

Saya yakin, saya tidak keseorangan. Ramai lagi rakyat Malaysia, khususnya penyokong tegar pembangkang ketika itu, masih menaruh kerisauan dan syak terhadap personaliti bekas perdana menteri keempat, yang mentadbir negara selama 22 tahun.

Sisi-sisi gelap pemerintahan Mahathir, terutama daripada segi amalan demokrasi, kebebasan bersuara, gaya autokratik, gangguan terhadap kehakiman, kronisme-nepotisme, pemusatan kuasa dan seumpamanya, sukar untuk dilupakan, malah meninggalkan impak buruk buat negara.

Namun begitu, saya cuba berlapang dada, bersikap realistik dan menerima hakikat bahawa regim Umno-Najib Razak perlu ditamatkan segera. Kita tiada banyak pilihan. Justeru, setiap potensi harus digilap dan digembleng bersama. Memang banyak perbedaan mesti diharmonikan, namun peluang terbaik untuk memulakan perubahan dan pembaharuan tidak wajar disia-siakan. Muafakat juga menuntut pengorbanan dan tolak-ansur yang tinggi.

Menyedari ramai teman dan kenalan, yang komited dengan agenda reformasi dan menuntut perubahan struktural tetapi masih menyimpan curiga terhadap Pengerusi Pakatan Harapan, maka saya mula menyusun buku kecil Mengapa Mahathir? Naskhah nipis sekitar 100 halaman ini bertujuan memujuk pendukung oposisi, terutama penyokong Pas, agar memberi peluang kepada kepemimpinan Mahathir bagi menamatkan regim kleptokrasi.

Saya cuba meyakinkan pembaca bahawa aksi solo Pas dalam PRU14 itu sebenarnya menguntungkan Umno-BN. Situasi pertandingan tiga penjuru di kala itu dikira lebih memihak untuk mengekalkan kuasa Najib-BN. Pemimpin utama Pas lebih cenderung untuk bekerjasama dengan BN tetapi mereka bimbang dengan penolakan dan tentangan akar umbi penyokongnya.

Berkenaan personaliti Mahathir, kita menyedari bukannya mudah untuk seseorang itu berubah sikap, namun suasana sudah banyak bertukar. Semasa beliau menerajui kerajaan dahulu, Mahathir mengetuai Umno yang dominan dalam BN. Parti-parti komponen kelihatan sekadar mengiakan keputusan Mahathir.

Berbeda dengan Pakatan Harapan. Sekurang-kurangnya tiga parti komponen, PKR, DAP dan AMANAH, boleh dianggap mendukung idealisme reformasi dan komited dengan penegasan terhadap antirasuah, urus tadbir yang baik, ketelusan, rule of law dan seumpamanya.

Selain itu, berdasarkan agihan kerusi Parlimen di Semenanjung, yang dipersetujui pada Januari 2018 itu, peruntukan buat Bersatu, parti pimpinan Mahathir, hanya sekitar 50 kerusi, hampir sama dengan PKR dan tidak jauh beda dari DAP. Malah, ada pemerhati politik berpendapat, kerusi yang ditandingi Bersatu itu boleh digolongkan dalam “gred C”, berpandukan komposisi kaum pengundi dan kebanyakan lokasinya di luar bandar.

Dijangkakan Bersatu pimpinan Mahathir tidak mungkin muncul sebagai pemegang kerusi terbanyak. Saya meramalkan jumlah kerusi yang dimenanginya tidak jauh berbeda dengan AMANAH, parti yang bertanding hanya separuh dari Bersatu.

Saya sekadar mahu menggambarkan Mahathir yang bakal menjadi perdana menteri ketujuh itu berbeda daripada PM ke-4 dahulu. Malah partinya sendiri, Bersatu, tidak sama dengan Umno. Keberanian Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu, menentang Najib, sehingga melucutkan jawatan timbalan menteri perdana juga suatu kelebihan dan aset besar. Sekutu rapat baru Mahathir, Dr Wan Azizah, Lim Kit Siang (Lim Guan Eng) dan Mohamad Sabu tentu jauh lebih berintegriti daripada presiden-presiden MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain.

Ucapan terakhir kempen Mahathir di Langkawi, grand finale, pada malam mengundi PRU14 juga menyentuh imiginasi saya. Biarpun dengan nada bersahaja dan mendatar, tiada elemen kejutan meskipun esok “hari pertempuran paling sengit”, Mahathir seperti mengulangi ungkapan yang sering dilafazkan.

Ketetapan konvensyen Pakatan Harapan, Januari 2018 itu juga amat menarik perhatian saya. Penegasan terhadap prinsip-prinsip penting good governace, pembaharuan pentadbiran, perangi rasuah dan salahguna kuasa, menyelesaikan isu kos sara hidup yang tinggi, mengurangkan pemusatan kuasa perdana menteri dan mengehadkan tempoh perkhidmatannya, kembalikan wibawa institusi strategik seperti Parlimen dan SPRM; semuanya membayangkan Malaysia Baharu yang diimpikan.

Dalam buku Revolusi Tanpa Darah, saya mencatatkan di bawah bab, 24 jam sebelum Umno-BN tumbang: “Dalam amanat akhir itu Mahathir mengakui dirinya sudah tua dan masa berbaki tinggal sedikit sahaja lagi. Dia mengulangi rayuannya agar rakyat berkorban, bukan dengan menumpahkan darah seperti di negara-negara lain, cukup dengan turun mengundi PH seramai mungkin. Saya tertarik dengan kalimah Mahathir, bahawa yang dihasratkannya adalah kerajaan baharu yang terhad dan terbatas kuasanya. Tukar kerajaan yang menyembah duit.

Kunci katanya adalah “kerajaan baharu yang terhad dan terbatas kuasanya”. Tentu sekali bermaksud tiada lagi seorang perdana menteri yang dipusatkan segala kuasa kepadanya. Tiada lagi kuasa eksekutif yang boleh menzalimi rakyat, memonopoli khazanah dan sumber kekayaan negara, memperkaya kroni, meremehkan hak asasi dan martabat insan.

Itu semua merupakan imbauan 17 bulan lalu, harapan dan impian menjelang PRU14. Apakah kini suasananya sudah berubah, persefahaman bersama telah dinodai, dan sosok Mahathir yang autokratik muncul kembali? Apakah benar regu Mahathir khususnya dalam Majlis Presiden PH juga hanya sekadar mengaminkan titah Mahathir?

“Mahathir sudah menjadi dirinya yang dulu, terutama beberapa bulan kebelakangan ini. Mahathir yang dulu bermakna dia diktatorial atau autoritarian,” katanya.

Syed Husin mendakwa ada bukti menunjukkan sejumlah besar kekayaan negara terkumpul di kalangan keluarga dan kroni Mahathir.

“Banyak syarikat dan projek diberikan kepada kroninya, terutama Daim Zainuddin, Syed Mokhtar Albukhary serta anak-anaknya,” katanya seperti dilaporkan. Tambahnya, kuasa memang boleh mendatangkan ‘ketagihan’, terutama jika ia membolehkan seseorang itu mengkayakan diri, keluarga dan orang terdekat dengannya.

Dr Syed Husin Ali lantang dan keras menegur gaya kepemimpinan Dr Mahathir dalam kerajaan dan Pakatan Harapan.

Persoalan ini timbul selepas membaca intipati wawancara Malaysiakini bersama Dr Syed Husin Ali, tenaga penting yang mengasaskan PKR, bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia, yang juga seorang tokoh cendekiawan yang hebat.

Secara peribadi, saya agak terganggu membaca laporan ini, bersumberkan seorang tokoh yang saya hormati sejak sekian lama, semasa zaman mahasiswa lagi. Dr Syed Husin dikenali kerana idealisme perjuangannya membela rakyat marhaen dan golongan terpinggir sehingga dikurung tanpa bicara, selama enam tahun.

Gigih mengemudi PRM, parti pembangkang yang relatif kecil tetapi berprinsip, selain produktif menulis dan membedah permasalahan kritikal masyarakat, serta kerap turun ke lapangan, misalnya menyantuni golongan setinggan atau peneroka bandar Seorang yang merendah diri, senang didekati dan tidak lokek apabila diminta pandangannya, terutama oleh wartawan kerdil seperti saya.

Kenyataan keras Dr Syed Husin ini susulan daripada isu peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar Ibrahim khususnya selepas kenyataan perdana menteri bahawa beliau mungkin bertahan untuk tempoh tiga tahun.

“Rakyat tertanya tanya apakah Anwar, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang sudah dibonsaikan oleh Mahathir? Apakah mereka tidak sedar bahawa percaturan politik Mahathir hari ini menjurus ke arah memusnahkan konsensus kuasa yang dipersetujui sebelum PRU14?” soal Dr Syed Husin.

Sehari sebelumnya, beliau berkata jawatan perdana menteri perlu diserahkan kepada Anwar sekurang-kurangnya dua tahun sebelum PRU15 bagi memberi ruang untuknya bersedia untuk berdepan dengannya.

Kegagalan berbuat demikian hanya akan ‘membunuh’ PH, katanya, ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir bahawa beliau mempunyai masa tiga tahun untuk memegang jawatan itu.

Tercetus polemik panjang tentang konsensus Pakatan Harapan mengenai peralihan kuasa itu, terutama waktu yang tepat ia bakal berlaku. Ramai menyebut, selepas dua tahun PH menang namun tidak kurang berpendapat tiada jangka masa tertentu diputuskan. Mahathir pula membiarkan teka-teki itu berterusan tetapi beliau tidak pernah membantan bahawa penggantinya adalah Anwar.

Tidak mudah saya mengulas isu ini, apatah lagi kedua-duanya, Dr Syed Husin dan Dr Mahathir merupakan tokoh yang saya homati dan berperanan besar membentuk Malaysia Baharu, berdasarkan kapasiti masing-masing. Tentunya saya agak terkilan dengan episod ini, di waktu Pakatan Harapan perlu dilihat utuh dan mantap. Bagaimanapun, tidak pula sampai menyapu sampah ke bawah karpet. Kita harus berani membuat pembetulan-pembetulan dan mengakui kealpaan atau kesalahan. Masa sama, PH harus membina keyakinan umum bahawa kerajaan yang diterajuinya sentiasa berada di atas landasan yang betul, dan bersedua menerima teguran atau kritikan membina. Bersambung…

Dr Syed Husin  (kiri) dan  (tengah)  Chong Ton Sing ketika kami bertemu di pejabat Gerak Budaya, Petaling Jaya,