Malaysia Dateline

Teguran Sultan Johor buktikan PN hanya pandai cari alasan

Naib Presiden AMANAH, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus menyifatkan teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai kelewatan vaksin Covid-19 di negeri itu membuktikan kerajaan Persekutuan hanya pandai mencari alasan berbanding mencari penyelesaian.

Beliau berkata, sesungguhnya Raja-Raja Melayu sangat prihatin dengan rintihan rakyat dan mempersoalkan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu menunggu giliran Raja-Raja Melayu yang lain pula untuk menegur kegagalan mereka.

“Kedudukan strategik Johor yang bersempadan dengan Indonesia dan Singapura menjadikan Sultan Johor sangat peka serta sedar bahawa isu kelewatan penerimaan vaksin telah diketahui rakyat di setiap peringkat.

“Tugas menteri-menteri Kabinet adalah untuk menyelesaikan masalah, bukannya mencari alasan atau menyalahkan pihak lain apatah lagi sesama mereka dalam kerajaan yang semakin lemah ini,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Pada masa sama Hasanuddin menegaskan, rakyat akan mengingati nama dan wajah setiap menteri dan partinya yang membentuk #KerajaanGagal dan dikenali dengan kerajaan #antara2darjat ini.

Terdahulu, selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa kerana Selangor menerima jumlah vaksin yang rendah daripada yang sepatutnya, kini Sultan Johor pula bertitah mengenai perkara yang sama.

Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan terhadap kadar vaksinasi di negeri Johor yang dilihat masih perlahan dan menitahkan agar kerajaan pusat mempertingkatkan lagi jumlah bekalan vaksin di Johor.

Baginda bertitah, setakat ini hanya 10 peratus sahaja daripada 3.78 juta populasi di negeri itu telah menerima suntikan vaksin menerusi Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).