Teka teki KWSP dibawa dalam Belanjawan 2023 terjawab, ini penegasan kali kedua PM Anwar

Oleh KIM SYAZIE

Susulan permintaan ramai pihak agar kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjelaskan perancangan berkenaan hal itu.

Ketika ditanya sama ada pengeluaran KWSP akan dipertimbangkan dibawa dalam Belanjawan 2023, Anwar memberi gambaran sama seperti sebelum ini bahawa tidak akan berlaku pengeluaran KWSP sekali lagi.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kerajaan sedang mengkaji alternatif lain bagi membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan tanpa perlu mereka mengeluarkan simpanan KWSP.

“Kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara nanti.

“Kita kena timbang. Kita sedang cari jalan kurangkan beban mereka tanpa menimbulkan beban lain pada masa mereka bersara nanti,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Syarahan Ulung Siddiq Fadzil – Pemikiran Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor (UNISEL).

Pelbagai pihak menggesa kerajaan membantu dan mengutamakan rakyat yang berada dalam kesusahan, termasuk membenarkan pengeluaran KWSP dalam Belanjawan 2023.

Perdana Menteri menjelaskan, beliau memahami isu mengenai kebenaran pengeluaran KWSP seperti yang dibangkitkan banyak pihak.

Katanya, sudah banyak kali kebenaran diberi dan ada simpanan pencarum yang semakin berkurangan.

“Saya kalau ikut, (itu) wang dia. Dia nak keluar biar dialah. Tapi kalau wang dia tinggal RM5,000 (dalam KWSP), keluar RM3,000, pencen nanti dia anak beranak macam mana?” katanya.

Baca juga: Peniaga ‘promote’ set nasi Anwar Ibrahim, Mat Sabu dalam hidangan Menu Rahmah