Malaysia Dateline

Teka teki pengeluaran KWSP 2.0 terjawab, ini jawapan tegas Perdana Menteri

Sejak pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada November tahun lalu, banyak pihak mengutarakan tuntutan meminta Ahli Parlimen Tambun itu membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2.0.

Antaranya Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ProRakyat) yang mengemukakan resolusi memohon kerajaan membenarkan tuntutan pengeluaran simpanan KWSP antara RM10,000 hingga RM30,000 secara ‘one-off’.

Kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebelum ini membenarkan pengeluaran wang KWSP sebanyak tiga kali melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Bagaimanapun pakar termasuk pakar ekonomi menyatakan kebimbangan jika trend tersebut berterusan.

Menjawab tuntutan untuk KWSP 2.0, Anwar berkata adalah lebih baik jika kerajaan mencari jalan dan kaedah lain yang lebih berkesan dalam membantu rakyat yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan sebelum ini.

Beliau juga memaklumkan perlu mempertimbangkan permintaan itu dengan mengambil kira keperluan mendesak rakyat dan masa depan mereka.

“Kalau kita tengok orang yang ada simpanan KWSP ini, duitnya sedikit sekali. Jadi saya perlu timbang di antara keperluan mendesak dan masa depan mereka.

“Saya periksa jumlah (simpanan KWSP) yang majoriti pencarum ada, jumlahnya sangat kecil. Jadi, saya bimbang masa depan mereka, lebih baik kerajaan cari jalan lain untuk bantu mereka,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Persekutuan dan Negeri Perlis di Dewan 2020.

Sebelum ini Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff pernah menyatakan kebimbangan terhadap kebenaran berterusan yang diberikan kepada pencarum untuk mengeluarkan wang persaraan mereka.

Menurutnya, kumpulan penengah berkemungkinan besar akan berdepan kesan jangka panjang selepas persaraan sekiranya caruman mereka dibenarkan keluar sekali lagi.

Baca juga : Samsuri akui ada masalah komunikasi waktu lawatan PM