Tekad 60 peneroka Jengka bersama Pakatan Harapan

Duduk dari kiri: Encik Abd Ghani Aziz, Che Rus Azit, Hj Nazaruddin Zulkifli, Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil dan Dr Jamaluddin Abd Rahim bersama-sama penduduk Felda Jengka 13.

Seramai 60 ahli Pas dan Umno Jengka 13 mengisytiharkan keluar parti bagi menyertai Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada petang 10 Mac lalu.

Bekas Pengerusi Tetap Pas cawangan, Abd Ghani Aziz berkata, beliau bertekad keluar parti kerana tidak lagi meyakini hala tuju pimpinan sekarang yang amat berbeza dengan legasi Allahyarham Tuan Guru Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Abd Aziz.

“Kami sedar bahawa Pas tidak lagi beristiqomah memperjuangkan hak rakyat sebaliknya bersikap mesra Umno atas alasan ta’awun, serta mengambil sikap berkecuali ketika di sidang parlimen ketika perbahasan bajet dan cukai GST.”

Beliau merupakan salah seorang pengasas awal Pas cawangan tersebut pada tahun 1978 menegaskan, hasrat mereka hanyalah mahukan hak-hak peneroka terjamin, serta pengurusan yang berkesan sekiranya PH memerintah kelak.

Manakala bagi Che Rus Azit, beliau dan 10 orang rakan terpaksa meninggalkan Umno apabila parti itu terus menerus terpalit dengan skandal rasuah dan korupsi.

“Kami tidak lagi mempercayai kepimpinan Dato Seri Najib Razak apabila menyedari kepentingan negara khususnya yang berkait dengan Felda telah tergadai satu persatu. Peneroka perlu bangkit sekarang demi masa depan bersama,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Pengerusi Bersatu Pahang, Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil yang juga Pengerusi Badan Bertindak (task-force) Felda turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan manifesto 10 janji 100 hari PH. PH berjanji untuk menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksakan ke atas peneroka.

Pengisytiharan tersebut turut disaksikan oleh Naib Pengerusi AMANAH Pahang, Dr. Jamaluddin Abd Rahim dan Hj. Nazaruddin Zulkifli selaku Ketua AMANAH Kawasan Jerantut.

 

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0