Tekad Budaya dan kritikan Anwar terhadap ilmuwan

Tekad Budaya dan kritikan Anwar terhadap ilmuwan

Pagi Jumaat 23 November telah berlaku suatu peristiwa penting di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.
Penting bukan kerana kehadiran bakal Perdana Menteri untuk menyampaikan Syarahan Za’ba yang bertajuk “Melayu dan Islam dalam era Malaysia Baharu” di situ.

Tetapi penting kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang ke situ setelah sekian lama dia tidak menjejakkan kakinya di pusat pengajian tempat dia mencipta namanya sebagai pemimpin pelajar dan pemimpin belia pada 1968-1970 dulu.

Dan bagi saya paling penting sekali ialah kerana Anwar Ibrahim ‘Perdana Menteri menanti’ itu telah mengucapkan kata-kata berikut:

“Boleh berlakunya kebobrokan, kemusnahan sistem, perompakan begitu besar, bukan semata-mata kerana nafsu serakah beberapa pemimpin politik, tetapi kerana golongan sarjana yang membisu, yang sanggup menjadi(kan) diri mereka perkakasan murahan, atas nama kaum atau agama.”

Di depan para sarjana dan profesor itu sendiri, termasuk yang mengundang dia ke situ, Anwar tanpa ragu-ragu dan tanpa segan-silu mengucapkan kata-kata tempelak dan kecaman itu – “golongan sarjana yang membisu, yang sanggup menjadikan diri mereka perkakasan murahan, atas nama kaum dan agama.”

Memang dia mengucapkannya secara umum, tidak ditujukan khas kepada khalayak yang hadir di hadapannya di Dewan Semarak APM itu sahaja, tetapi tentunya termasuklah juga mereka.

Dan saya secara peribadi sangat bersetuju, kerana bersama kawan-kawan sarjana dan profesor yang sefikrah, kami pun telah lama melihat dan menyaksikan mereka yang “menjadi perkakasan murahan’ itu.

Kata Anwar lagi, menyambung: “Serban makin besar, janggut makin panjang, degree mungkin berjela, tapi tidak ada hati nurani dan etika. Ya bukan sahaja pemimpin politik, sarjana, penjawat awam; bukan hanya sekadar membisu, tapi yang sanggup bersekongkol untuk mempertahankan kedurjanaan yang menimpa bangsa, rakyat dan negara.”

Ya, bukan sahaja golongan sarjana tetapi juga penjawat awam, dan bukan sahaja sekadar membisu tetapi malah sanggup bersekongkol.

Apa yang diucapkan Anwar itu sebenarnya itulah yang selama ini menjadi sebahagian daripada kandungan Tekad Budaya yang diperjuangkan oleh Paksi, dimana golongan sasaran Tekad Budaya itu ialah seniman, budayawan, ilmuwan dan profesional termasuk pentadbir, yakni penjawat awam.

Tekad Budaya yang paksinya ialah berkata benar itu menghendaki golongan sasarannya supaya kembali memainkan peranan masing-masing; maksudnya seniman memainkan peranan seniman, budayawan memainkan peranan budayawan, ilmuwan memainkan peranan ilmuwan dan pentadbir atau penjawat awam memainkan peranan pentadbir; dan tidak sama sekali berserah atau bersekongkol dengan orang politik yang tamak dan menindas rakyat.

Antara fahaman atau pemikiran Tekad Budaya ialah bahawa masyarakat Malaysia keterlaluan berpolitik maka kita hendaklah mengurangkan berpolitik iaitu dengan menghidupkan fungsi-fungsi seniman-budayawan sebagai seniman-budayawan yang tegak berdiri dengan prinsip kesenimanan-kebudayawanannya, ilmuwan tegak berdiri dengan prinsip keilmuwanannya dan pentadbir tegak berdiri dengan prinsip pentadbir yang professional – tidak bersekongkol dan tidak menjadi perkakas kepada sesiapa.

Misalnya apa yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara, Dr Madinah Mohamad baru-baru ini bahawa penjawat-penjawat awam tertinggi di negara kita iaitu bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang; bekas Ketua Setiausaha Negara, Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Dzulkifli Ahmad; dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Shukri Mohd Salleh telah bersekongkol dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak meminda laporan audit 1MDB yang dibentangkan kepada Kabinet dan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Pengkhianatan peringkat tertinggi seperti itu tentunya tidak akan berlaku sekiranya para penjawat awam yang menjawat jawatan-jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara itu memiliki peribadi dan akhlak yang mulia dan berpegang teguh dengan prinsip profesionalisme mereka, atau dengan kata lain menerapkan Tekad Budaya dalam amalan harian mereka.

Anwar dalam syarahannya itu selanjutnya menegaskan: “Jangan gedung-gedung dan makmal dan perpustakaan dan profesor-profesor yang gagah ini sekadar memberikan pendidikan, tetapi tidak mampu melahirkan manusia yang punyai akhlak dan faham prinsip etika dalam hidup diri mereka, keluarga mereka, masyarakat mereka dan tentunya negara mereka.”

Alhamdulillah, kesedaran Tekad Budaya itu walaupun tidak disebut sebagai Tekad Budaya, bagi saya sangatlah melegakan dan menggembirakan.

Telah lama Seniman Paksi Rakyat (Paksi) memperjuangkannya secara pinggiran kerana dipinggirkan oleh kawan-kawan seniman-budayawan dan ilmuwan di zaman Umno-BN pimpinan Najib Razak; kini zaman Malaysia Baharu pimpinan Mahathir-Anwar diharapkan keadaan akan berubah.

Sebahagian kandungan Tekad Budaya itu telah digubal semula dalam satu pertemuan seniman-budayawan-ilmuwan di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, April 2017, dengan nama “Deklarasi Kuala Kangsar”, dan mendapat dokongan lebih 50 persatuan penulis dan seni-budaya di seluruh Malaysia.

Dalam satu catatan fesbuk saya 11 Mei lalu saya katakan: “Kalau satu cadangan saja PM Mahathir nak dengar dari saya – saya minta dia terjemahkan ‘Deklarasi Kuala Kangsar’ (yang digubal di Universiti Sultan Azlan Shah, 9 April 2017) menjadi Dasar Seni-Budaya Malaysia, dan luluskan peruntukan kewangan mencukupi seperti dicadangkan, dan arahkan agensi-agensi berkenaan melaksanakannya. Itu saja.”

Dan dalam pertemuan khas Paksi dengan Anwar Ibrahim di pejabatnya di Petaling Jaya 7 November lalu, banyak persoalan seni-budaya dan Tekad Budaya telah dibincangkan, dan kami pun telah menjelaskan kedudukan sebenar golongan penulis, sasterawan dan budayawan Malaysia yang sedang menyesuaikan kedudukan masing-masing, berikutan perubahan kuasa politik dan pemerintah di Malaysia pasca 9 Mei 2018.

Semoga Tekad Budaya dan Deklarasi Kuala Kangsar dapat memberi sumbangan bererti kepada pembangunan Malaysia Baharu.