Insiden kematian kanak-kanak yang dikenali sebagai Dea Maisarah pada 9 Julai lalu masih kekal menjadi misteri sehingga ke hari ini.
Mahu mencari keadilan, bapa kanak-kanak itu, Bada Husin tidak akan berhenti berusaha merungkai punca sebenar kematian anak gadisnya.
Hal ini kerana, pengesalan kematian anaknya sebagai dibawa mati ke hospital (BID) di dalam permit pengebumian adalah palsu dan tidak benar.
Oleh yang demikian, perkara yang sebenar harus dibongkarkan agar ibu bapa lain tidak akan menerima nasib sama sepertinya.
“Kita sedia maklum, anak saya masih hidup dengan saya ada bukti termasuk resit pembayaran. Ramai juga mempersoalkan supaya reda.
“Memang reda tetapi amar maaruf dan nahi mungkar. Kejahilan kita cegah. Pembohongan pihak-pihak berkenaan wajib dibongkarkan.
Kita hendak keadilan. Kalau boleh, cukuplah anak saya yang terakhir derita akibat kecuaian dan kebodohan pihak-pihak berkenaan,” katanya memetik Berita Harian.
Peguam yang mewakili Bada, Hafiz Norkhan menyifatkan bahawa insiden yang menimpa Dea Maisarah itu sangat serius.
Menurut Hafiz, dokumentasi pengisytiharan kematian kanak-kanak yang disahkan BID itu memerlukan siasatan telus dari pihak berkuasa.
Hafiz juga mendapat arahan untuk mengambil tindakan saman terhadap Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Kementerian Kesihatan.
“Setakat ini, saya dapat arahan ambil tindakan saman sivil terhadap HTAR dan Kementerian Kesihatan dengan saman ini bukan bersifat materialistik,” Jelas Hafiz.
Terdahulu, kes melibatkan Dea Maisarah menjadi perbincangan hangat selepas satu sesi pendedahan dibuat bapanya, di media sosial.
Bada mendakwa, pihak HTAR telah membuat laporan palsu dengan mengatakan anaknya sudah meninggal dunia ketika dihantar untuk mendapatkan rawatan.
Sedangkan, pihak hospital yang lewat memberi rawatan sehingga Dea Maisarah terpaksa menunggu lebih 40 minit sebelum mengalami sesak nafas.
Dea Maisarah juga terpaksa diikat kerana meronta ketika dicucuk pasukan perubatan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di HTAR.
Baca juga: Belum sah jadi suami isteri, ramai meluat tengok Yasmin Hani cium bahu kekasih