Tekad WARDA mahu tarik lebih ramai anak muda sertai AMANAH

Tekad WARDA mahu tarik lebih ramai anak muda sertai AMANAH

Buat pertama kalinya selepas penubuhan rasmi Wanita Muda AMANAH Nasional (WARDA), sayap wanita dalam parti Amanah Negara (AMANAH) itu terus melahirkan cita-cita akan memperkasa peranan menarik lebih ramai anak muda menyertai AMANAH.

Ketuanya, Nur Thaqaffah Nordin berkata, ini kerana wujudnya kelompok wanita muda berintelektual yang banyak terlibat dalam karier pekerjaan tetapi hanya sedikit penglibatannya dalam politik yang dilihat tidak memberangsangkan.

“Para pimpinan semua mempunyai anak muda tapi mengapa anak-anak anda tak maklum, tak faham tentang politik. Di mana silapnya. Adakah kerana parti itu tak terima pandangan wanita muda?

“Akan tetapi WARDA beri platform, beri sayap wanita muda untuk membuat keputusan mereka sendiri dalam membentuk hala tuju wanita muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, semasa Majlis Konvensyen Nasional 2019 AMANAH, di Pusat Konvensyen Ideal Centre (IDCC), hari ini.

Dalam pada itu, WARDA turut memandang penting isu pengundi berumur 18 tahun yang menurutnya kewujudan WARDA bagi memastikan pengundi-pengundi muda keluar mengundi.

“Ini bukan isu yang boleh dianggap enteng. Ini menunjukkan peranan anak muda. Jika kita melakukan kebaikan, mereka akan datang mengundi.

“Kehadiran wanita muda menunjukkan AMANAH parti progresif dalam menarik ramai anak muda untuk menyertai AMANAH. Malah kita juga memandang penting isu pengundi muda untuk memastikan mereka bersedia buat pilihan pada Pilihanraya akan datang,” ujarnya.

Dalam sesi penggulungan hari ini, WARDA sekali lagi mengangkat cadangan memperkenalkan modul kewarganegaraan diperingkat sekolah rendah mahupun menengah.

Jelasnya, modul tersebut kelak bagi menjelaskan lebih lanjut berkenaan pilihanraya dalam negara termasuk proses demokrasi yang diamalkan.

“Kita tak mahu anak muda membuat keputusan langkah ikut parti ibu bapa mereka. Kita nak anak muda bijak buat pilihan mengikut parti anak itu sendiri,” katanya.