Malaysia Dateline

Tekaknya dahaga lidahnya mengundang murka Allah, tapi Nasrudin pula kena ‘tazkirah’

Baru sahaja memberi tazkirah atau ceramah ringkas tentang agama sebagai peringatan sempena minggu akhir Ramadan ini, dia pula yang kembali dihujani ‘tazkirah’ oleh warganet.

Itu yang menimpa Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan hari ini apabila mengaitkan ibadat puasa dengan sikap dalam menyatakan pendapat di media sosial.

“Terdapat insan yang berpuasa, tekaknya dahaga perutnya lapar tetapi lidahnya mengundang murka Allah dan jemarinya mengarang dosa tanpa henti.

“Bertaqwalah,” serunya ringkas dalam hantaran di Facebook hari ini.

Walau bagaimanapun, Nasrudin kemudiannya menerima sindiran yang bertali arus daripada hal bersangkut dengan politik Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hinggakan kontroversi  peribadi.

“Juga ada penguasa yang berpuasa, menjual ayat-ayat Allah untuk kesenangan dunia dan pangkat. Apabila sampai di atas, semakin punah amanah yang Allah berikan,” balas Hanif Abdul Karim.

Ada juga yang dilihat menyindir Nasrudin apabila mengaitkan dengan kepesatan aktiviti judi di dalam negara ekoran langkah kerajaan PN menambah kekerapan cabutan khas judi bermula tahun ini.

“Terdapat insan yang berpuasa dan berkuasa, cabutan khas nombor ekor boleh naik jadi 22 kali berbanding lapan sebelumnya.

“Moga tenang dengan jawapan ketika diyaumul hisab dan yaumul mizan nanti. Bertaqwalah dengan sebenar-benar taqwa!” tulis Salehudin Basri.

Politik kebencian

Sementara itu, pengguna Facebook, Ahmad Yub Zulbaidi Zakaria secara sinis lagi pedih berkata, sempena bulan mulia Ramadan ini, beliau berjihad melawan puak yang menggalakkan aktiviti judi.

Memanggil Nasrudin sebagai ‘Din’, jihadnya juga termasuk melawan puak yang menipu rakyat kononnya berjuang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) atau dikenali sebagai Rang Undang-Undang (RUU) 355.

Ahmad Yub juga ingin berjihad menentang puak pengkhianat serta agen Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat yang dipercayai merujuk kepada seorang ikon pemimpin Pas yang juga Ahli Parlimen di Kelantan.

“Lawan puak-puak yang perabih dana rakyat bermewah beli kenderaan Menteri Besar, Exco.

“Lawan puak-puak cakap tak serupa bikin, contoh penipu yang suruh kecilkan Kabinet, potong gaji menteri-menteri, tiada lantikan politik dalam GLC masa jadi pembangkang dulu.
“Banyaklah Din. Jihad tu,” katanya lagi kepada Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkenaan.

Dalam masa sama, terdapat warganet yang menasihatkan Nasrudin agar tidak mengamalkan politik kebencian dengan mencontohi cara pemimpin Pas dan Umno lain dalam mengajak orang ramai berbuat kebaikan.

“Kan lebih baik dan manis jika ustaz (Nasrudin) memujuk atau mengajar buat kebaikan dari perli pihak lawan.

“Sebagai contoh YB Sam (Menteri Besar Terengganu) dan Exco Dr Azman, YB Tok Mad (bekas Menteri Besar Negeri Sembilan).

“Bila berbicara sangat lembut dan tidak mengamalkan politik kebencian,” nasihat Muhammad Zakaria.