Tekan Pakatan Harapan agar buang akta menindas selepas menang, kata pensyarah

Tekan Pakatan Harapan agar buang akta menindas selepas menang, kata pensyarah

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Dr Azmi Sharom (gambar atas) mengingatkan pentingnya rakyat menggunakan tempoh enam bulan pertama jika Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat di Putrajaya untuk mendesak pemansuhan segala undang-undang yang menindas.

Menurutnya, itu adalah tanggungjawab rakyat kerana demokrasi berlaku setiap hari bukan lima tahun sekali.

“Itu sebab kalau PH menang, enam bulan pertama kita sebagai masyarakat sivil mesti tekan kerajaan baharu ini untuk membuang undang-undang ini (Akta Antiberita Tidak Benar 2018).

“Kita mesti tekan mereka untuk hapuskan apa sahaja undang-undang yang menindas seperti AUKU (Akta Universiti Dan Kolej Universiti 1971).

“Lebih penting, peraturan-peraturan universiti yang tidak masuk akal termasuk (alasan) memburukknan nama universiti dan sebagainya,” tegas pakar undang-undang berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta kuliah awam, ‘Akta Berita Palsu: Senjata Terakhir Sebelum PRU-14?’ anjuran bersama Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) dan Angkatan Mahasiswa di di Hub TFTN, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Dr Azmi berpendapat tempoh enam hingga 12 bulan pertama pentadbiran PH itu paling sesuai dengan desakan menghapuskan undang-undang yang menindas.

“Dalam tempoh itu mereka ghairah sesuai dengan nama ‘harapan’ dan ‘keadilan’. Kita mesti guna tempoh itu. Jangan tunggu lama-lama.

“Itu sebab demokrasi bukan sekadar parti politik. Demokrasi adalah tentang kita. Di bawah kerajaan baharu, kita mesti tekan supaya (akta drakonian) ditarik balik, dibuang.

“Sebabnya, PH sebelum ini antara perkara yang mahu dilakukan ialah menukar sistem supaya jadi telus. Jadi, kita tekan mereka untuk laksanakan segera,” ujarnya.

Pengarang buku Catatan Pengingat Buat Kawan dan Lawan itu berkata, jika selepas 9 Mei ini parti pemerintah yang masih sama ke Putrajaya tiada peluang untuk pelbagai peruntukan menindas itu dimansuhkan.

“Kita sebenarnya lupa (hak sebagai rakyat) sebab 60 tahun, kita feudal terutama orang Melayu, hormat kita membuta-tuli,” tambahnya lagi.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote