Malaysia Dateline

Tekanan darah tidak menentu Najib akan dirujuk ke IJN hari ini-Prosiding kes 1MDB ditangguh esok

Tekanan darah Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan tidak menentu, beliau berkemungkinan akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini yang sepatutnya mendengar perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Menurut Muhammad Shafee, tekanan darah bekas Perdana Menteri itu dilaporkan tidak menentu selain puncanya masih belum diketahui.

“Najib akan menjalani beberapa ujian kesihatan dan keputusan pemeriksaan itu akan diketahui beberapa hari lagi,” katanya.

Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak semalam.

Memetik Astro Awani, Muhammad Shafee berkata, beberapa ujian kesihatan itu akan menentukan punca keadaan anak guamnya dan mungkin dirujuk ke IJN.

Namun begitu, Muhammad Shafee tidak boleh mendapat arahan lanjut daripada Ahli Parlimen Pekan itu memandangkan peguam tidak dibenarkan melawat beliau di wad HKL.

Sehubungan itu, peguam itu memohon supaya perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib hari ini ditangguhkan.

Perkara itu tidak mendapat bantahan daripada pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan prosiding kepada petang esok untuk mendapatkan perkembangan lanjut mengenai keadaan Najib.

Pada Isnin, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah Najib akan dirujuk ke Hospital Kajang kerana mengalami masalah kesihatan.

Sri Ram berkata, Najib akan dirujuk ke hospital tersebut ekoran ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk.

Baca juga: ’23 tahun! Sampai bila nak letak batu’-Penduduk 3 kampung di Pasir Mas mahu jalan berturap

Baca juga: Bekas pengurus Khairul Aming tampil mohon maaf, akan cuba perbaiki diri