Tak perlu vakum! Bibik ajar cara unik bersih karpet guna mop, dah macam dapat karpet baru

Oleh NASUHA RAHMAN

Hamparan karpet pelbagai corak merupakan penambah seri bagi ruang dan sudut dalam kediaman kita.

Namun, sifat karpet yang bersaiz besar, berat dan berbulu pastinya menyukarkan kita untuk membersihkannya secara berkala.

Paling mudah, kebanyakan pemilik rumah akan menggunakan penyedut hampagas atau vakum untuk menghapuskan debu dan habuk yang bersarang di dalam bulu-bulu karpet.

Namun, seorang wanita dikenali sebagai Syarifah Farhana Syed Fadzil atau Fana berkongsi teknik menarik yang diajar oleh seorang pembantu rumah untuk mencuci karpet.

“Siapa yang pernah mop karpet? Kelakar kan mop karpet? Fana tahu karpet boleh mop daripada sorang maid ni, bila dia mop karpet, Fana tanya dia… karpet boleh mop ya?

“Dia kata boleh mop untuk hilangkan habuk. Biasa lepas vakum pasti ada habuk dan kuman. Jadi dari situ Fana belajar setiap seminggu sekali Fana mop semua karpet yang ada dalam rumah.

“Semput juga dik oi macam nak tercabut jantung Fana. Tapi lepas mop tu anda akan rasa macam karpet baharu yang bersih gila, bebas kuman parasit bagai,” ujarnya.

Berikut merupakan cara mudah untuk mop karpet kediaman anda:

1.Pertama, masak air di dalam cerek atau periuk.

2.Selepas mendidih, curahkan air ke dalam baldi mop. Yang penting, hati-hati ketika melakukan proses ini.

3.Kemudian, letak garam kira-kira dua sudu makan, satu penutup cecair pencuci pure Detol.

4.Selepas itu, pastikan anda perah mop itu sehingga tiada air yang menitik sebelum ia digunakan ke atas permukaan karpet. Ingat, jangan perah menggunakan tangan kerana air yang panas boleh menyebabkan anda melecur.

5.Gerakkan mop di atas permukaan karpet bagi mengeluarkan segala kotoran yang tersembunyi.

Kalau boleh, beli mop khas untuk membersihkan karpet sahaja dan elak gunakan mop yang digunakan untuk membersihkan lantai ruang lain di rumah anda.

Baca juga: Makcik ini jadi perhatian butik-butik mewah selepas kantoi curi beg berjenama, “mati-mati tak nak mengaku”