Teknologi urus tanah gambut mampu atasi jerebu – Pakar

Teknologi urus tanah gambut mampu atasi jerebu – Pakar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Unit Makmal Tanah Gambut Tropika yang berpangkalan di Sarawak, Malaysia bersedia membantu Indonesia mengatasi masalah kebakaran hutan tanah gambut dengan pemindahan teknologi pengelolaan tanah gambut kepada kerajaan negara itu.

Pengarahnya Dr Lulie Melling berkata, kerjasama untuk menghulurkan bantuan itu sekaligus dapat mengatasi masalah pencemaran akibat jerebu yang sememangnya menjejaskan sosio-ekonomi dan kesihatan rakyat Malaysia.

Katanya, pemindahan teknologi pengelolaan yang dimaksudkan ialah kaedah pemampatan tanah gambut supaya ia sentiasa mampat dan lembab.

“Terdapat kaedah yang paling sesuai untuk mengatasi masalah kebakaran hutan gambut iaitu memampatkan tanah dan sekaligus ia akan melembabkan gambut bagi mengelak berlakunya kebakaran,” kata beliau kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, Makmal Tanah Gambut Tropika baru-baru ini telah menerima kunjungan oleh wartawan dan para pengusaha kelapa sawit dari negara jiran itu bagi mempelajari dan melihat kaedah berkenaan yang dilaksanakan di Sarawak.

Lulie berkata Indonesia sememangnya berminat untuk mempelajari kaedah pengelolaan tanah gambut di Sarawak kerana negeri itu tidak mempunyai masalah kebakaran hutan gambut walaupun hanya bersebelahan dengan Kalimantan.

Kalimantan adalah antara wilayah di Indonesia yang paling serius menghadapi masalah kebakaran hutan gambut sehingga Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa buah kawasan dilaporkan melebihi 2,000.

Katanya, kerajaan Indonesia haruslah melakukan sesuatu secara efektif jika negara itu mahu memastikan tiada lagi isu jerebu.

“Kalimantan adalah antara wilayah di Indonesia yang menghadapi masalah kebakaran hutan gambut yang serius tetapi kebakaran itu tidak berlaku di Sarawak dan sebenarnya kaedah untuk mengatasi kebakaran ialah dengan pengelolaan tanah,” katanya.

Beliau berkata, sememangnya terdapat pihak tertentu yang mencadangkan untuk mengatasi masalah itu seperti kaedah memadam api jika berlaku kebakaran tetapi ia tidak menyelesaikan masalah kerana langkah yang perlu diberi perhatian ialah kaedah mencegahnya.

“Ini kerana tanah gambut sememangnya berongga dan ia menyebabkan gambut menjadi kering dan mudah terbakar dan disebabkan itu, proses pemampatan adalah kaedah yang paling sesuai sebagai langkah pencegahan,” katanya lagi.

Lulie berkata, teknologi pemampatan tanah itu dapat dilakukan dengan membina sistem perparitan dan memantau paras air serta menggunakan jentera penggali untuk memendapkan tanah.

Katanya, tanah gambut yang mampat dan lembab bukan sahaja menjadi subur malah ia akan memberi hasil sawit yang lebih untuk jangka panjang.

“Kaedah pemampatan tanah ini juga masih boleh dilaksanakan di kawasan ladang yang telah mempunyai tanaman dan kita mempunyai cara untuk melakukannya,” katanya.

Beliau berkata, Indonesia mempunyai lebih 4 juta tanah gambut yang terbiar dan ia akan menyumbang kepada kebakaran hutan jika tidak dikelola dengan baik mulai sekarang.

“Kebakaran hutan tetap akan berlaku jika tidak ada pengelolaan tanah gambut kerana permukaan tanah itu akan menjadi kering apabila musim kemarau,” kata beliau.

Katanya, kaedah pencegahan kebakaran adalah lebih berkesan daripada kaedah mengatasi kebakaran terutamanya bagi kawasan tanah gambut yang terbiar.

Pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Presiden Jokowi bagi menawarkan bantuan mengatasi masalah kebakaran tanah gambut ekoran kebakaran hutan di negara itu telah menyebabkan Malaysia dilanda jerebu yang serius.

Beberapa buah negeri di Semenanjung dilaporkan mengalami paras IPU yang sangat tidak sihat selama beberapa bulan sehingga kerajaan terpaksa menutup sementara sekolah di negeri-negeri yang terjejas dengan jerebu.

Jokowi dilaporkan bersetuju dengan pelawaan Najib dan mengarahkan pihak berkuasa di negara itu untuk mempelajari kaedah mengatasi kebakaran hutan gambut itu yang dilaksanakan di Sarawak.

Presiden itu juga baru-baru ini mahu semua pihak memberi jaminan bahawa masalah jerebu yang serius tidak akan berlaku lagi pada tahun ini.

Kerajaan negara itu turut menjanjikan satu tindakan yang serius terhadap mereka yang melakukan kebakaran dengan sengaja bagi tujuan meneroka tanah untuk perladangan.

TAGS