Malaysia Dateline

Teknorat, ilmuwan Pemuda AMANAH Terengganu

Gambaran yang sering kali dimomok kepada orang muda yang terlibat dalam politik ialah sekumpulan anak muda Melayu yang tiada kerja. Akademik yang tidak semengah mana, maka selayaknyalah mereka berada dalam parti politik untuk sambil-sambil mengutip duit kopi dan boleh dikerah beramai gantung bendera. Dan dipanggil bila-bila masa.

Saya sendiri pun tidak terlepas dengan pandangan awal seperti ini dek kerana kerangka inilah yang banyak di dalam dua parti Melayu besar tanah air. Tidak mahu disebut nama. Namun, bermula menginjak kaki ke dalam parti AMANAH, fikiran seperti itu tetap ada. Maklumlah ini negeri Terengganu. Negeri yang kuat laungan takbirnya.

Saya silap. Pemuda AMANAH di bumi ulama ambia mempunyai sisi wajah yang berbeza. Platform sayap pemuda di sini datang dari latar yang kuat dari segi akademik dan kerjaya mereka.

Magnitud perbincangan kami jarang benar berkisar tentang projek mana ingin dirembat dan tokoh politik mana ingin dijilat. Ia berbeza. Bahkan nak dicari yang hisap rokok pun sangat sukar.

Organisasi AJK Pemuda AMANAH Terengganu berjumlah 17 orang. Dipilih secara demokrasi. Daripada jumlah ini saya sebutkan secara ringkas latar mereka:

3 orang doktor pakar
1 orang pensyarah muda PhD
1 orang jurutera Ir.
1 orang jurutera Ts.
1 penulis buku peringkat Master
1 orang pakar IT ijazah
1 orang bos Bank Daerah
1 orang guru ijazah
1 orang ustaz ijazah
1 orang pelajar MPP
5 orang usahawan ijazah.

Ini adalah pelaburan jangka panjang pelapis pemimpin di Terengganu. Dua orang yang paling tua berusia 39 tahun termasuk saya. Lantaran kebolehan ini, separuh dari jumlah AJK Pemuda turut berada dalam lapis kepimpinan utama negeri secara rasmi. Separuh dari jumlah AJK Pemuda tersebut adalah graduan lulusan luar negara.

Organisasi parti politik bukan sekadar tempat berhubaya mencari kuasa dan pengaruh. Ia juga adalah platform pendidikan membentuk kemahiran yang lain seperti skill memimpin, skill bercakap, skill menulis, skill bermesyuarat, skill berorganisasi, dan skill mendengar.

Ditambah dengan pembentukkan nilai sahsiah seperti prihatin kepada kesusahan orang lain, cakna, kuat membaca dan santun budi bahasa serta kuat bersedekah.

Mengapa kelompok latar anak muda seperti ini memilih AMANAH di bumi yang hanya mengenal dua parti melayu? Kerana iltizam dan kesedaran.

Kemahiran intelek yang tinggi membawa aras berfikir yang berbeza. Misalnya, semua orang tahu rutin hidup seorang doktor. Pada waktu senggang yang boleh berehat bercuti atau berkonvoi motor besar tetapi memilih untuk kelapangan menyantuni masyarakat dan menyiapkan tulisan-tulisan ilmiah untuk program parti menuntut pengorbanan yang luar biasa. Itulah Pemuda AMANAH Terengganu.

AMANAH adalah parti masa depan. Ya, kami tidak mampu memberi tawaran material untuk mengajak anak muda bersama. Apa yang kami mampu bawakan ialah satu wadah untuk membina jatidiri, kemahiran interpersonal, dan set kemahiran diri yang lain untuk menjadi manusia yang memaknakan kepada manusia lain.

Apabila anak-anak muda ini bersedia untuk meninggalkan kerjaya hakiki mereka di kemudian hari, Parti AMANAH Terengganu boleh menyediakan saf calon yang sangat berkebolehan untuk negeri.
Ia pastinya menguntungkan rakyat. Islam meletakkan ciri-ciri pemimpin mestilah al qawim dan al amin. Kuat dan Amanah. Boleh ditakrif kepada generasi ini ialah Kompetensi dan Integriti.

Buat anak-anak muda Terengganu, Parti AMANAH adalah wadah yang baik untuk anda. Ya, politik itu jelik jika diisi dengan orang-orang yang jelik. Kita putih dan murnikan ia. Ini tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan tanah air.

*ZAMIR GHAZALI merupakan Ketua Pemuda AMANAH Terengganu.