Malaysia Dateline

Teksi kenakan caj RM62 untuk jarak 2km atas alasan perlukan wang baiki mesin basuh

Seorang penunggang teksi motosikal di Songkhla, Thailand mengaku sengaja me­ngenakan caj tidak masuk akal kepada seorang pelancong Malaysia gara-gara dikatakan buntu mendapatkan duit untuk membaiki mesin basuhnya yang rosak.

Pembawa teksi motosikal itu dilaporkan mengenakan tambang cekik darah hampir RM62 kepada pelancong Malaysia untuk jarak 2 kilometer.

Lapor Agensi, pada awalnya pelancong Malaysia itu terkandas selepas kereta yang di parkir dikapit tayarnya oleh pihak perbandaran.

Bagi membayar denda tersebut, pelancong itu menaiki teksi motosikal milik Noppakhun Nuchmuang, 52, untuk pergi ke Balai Polis Mueng.

Apa yang mengejutkan adalah Noppakhun mengenakan bayaran tambang 500 baht (RM61.90). Walhal destinasi dituju hanya berjarak 2 kilometer (km).

Difahamkan bagi jarak tersebut, kadar tambang hanyalah sekitar 100 baht (RM12.40).

Polis kemudiannya menahan Noppakhun, walaupun pada awalnya dia menafikan dakwaan mangsa.

Bagaimanapun, dia akhirnya mengakui kesalahannya. Noppakhun diberitahu oleh polis dia berdepan hukuman penjara ke­rana membuat pengakuan palsu.

Noppakhun mendedahkan bahawa dia tidak menerima seorang penumpang pun pada hari kejadian.

Sebaik sahaja melihat pelancong dari Malaysia yang terkandas itu, dia menawarkan perkhidmatan dengan bayaran tinggi.

Tambah Noppakhun, dia tidak mengugut pelancong berkenaan selain mendakwa, dia merupakan pemandu yang membayar cukai serta kali pertama melakukan kesalahan itu.

Noppakhun turut memberitahu perihal mesin basuhnya yang perlu dibaiki dan dia tidak mempunyai wang.

Noppakhun didakwa di bawah Seksyen 159 Akta Pengangkutan Darat kerana mengenakan tambang pengangkutan melebihi bayaran standard. Dia berdepan hukuman denda sehingga 5,000 baht (RM618.76).