Teksi motor bantu pengusaha kecil, kata Dr Mahathir

Teksi motor bantu pengusaha kecil, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini dapat membantu pengusaha tempatan yang menjalankan perniagaan kecil.

“Jika Go-Jek datang ke sini, ia akan memberi manfaat kepada peniaga kecil,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pertemuan Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Mengulas bantahan sesetengah pihak, beliau berkata, pengguna ada pilihan untuk menggunakan khidmat e-hailing itu.

“Kalau rasa tak selamat, jangan naik. Anda ada pilihan, kita tak paksa gunakan teksi motosikal,” ujarnya.

Menurutnya, sesuatu dasar atau pendekatan yang ingin dilaksanakan kerajaan akan ada tentangan daripada mana-mana pihak.

“Yalah, ada yang tak puas hati. Sesetengah pihak akan menentang tetapi kita mahu tahu ia memberi manfaat kepada negara atau sebaliknya,” tambahnya lagi.