Malaysia Dateline

Tekuni kisah pintu dan Yusof dengan adil

Ketika Yaaqub meminta sepuluh orang anaknya masuk bertemu Yusof melalui pintu kota yang berlainan, Yusof adalah menteri yang menjaga perbendaharaan Mesir.

Ketika itu Yaaqub menetap di Palestin yang dilanda kegawatan ekonomi. Justeru, bantuan Yusof diperlukan untuk mereka mendapat keperluan asas seperti makanan dan barang-barang keperluan yang lain.

Arahan masuk melalui pintu kota yang berlainan adalah strategi Yaaqub bertujuan mengelak anak-anaknya terperangkap dengan sebarang rencana jahat pihak-pihak yang mencurigai mereka.

Jika mereka terperangkap atau tertangkap serentak semuanya, tentulah rencana untuk bertemu Yusof akan gagal dan hajat mereka tidak tertunai. Jika masuk secara berpecah, kemungkinan semuanya akan tertangkap adalah rendah.

Hal itu kerana mereka orang asing, gaya bercakap, berjalan dan berpakaian berbeza dengan masyarakat tempatan. Keadaan itu mengundang risiko dan bahaya kepada mereka sedangkan misi yang mereka bawa adalah misi ayah mereka, seorang rasul.

Mereka masuk bertemu Yusof untuk meminta bantuan demi kepentingan umum di Palestin, bukan merampas kerajaan Yusof. Tindakan itu demi mematuhi arahan Yaaqub, ayah mereka seorang rasul.

Sepuluh orang anak Yaaqub berkenaan adalah orang-orang baik. Cuma mereka terpengaruh dengan hasutan syaitan yang menyuntik perasaan hasad ke dalam hati mereka menyebabkan mereka bertindak jahat terhadap Yusof dengan membuangnya ke dalam telaga buruk.

Namun, semuanya berlaku dengan rencana Allah untuk menyerlahkan kebolehan, bakat serta kemuliaan peribadi Yusof selaku rasul.

Setelah melalui pelbagai tribulasi, Yusof terpercaya dan terlantik sebagai menteri di Mesir. Mesir ditadbir dengan baik dan menjadi negara yang makmur di bawah Yusof.

Yusof tidak mengkafirkan adik-beradiknya yang mengkhianatinya secara peribadi. Dia memaafkan mereka bahkan menghulur bantuan apabila mereka terdesak.

Raja Mesir ketika itu dikatakan seorang kafir. Yusof menjadi menteri yang bekerja di bawah pemerintahan raja berkenaan. Beliau tidak bermusuh dengan raja kafir itu tetapi bekerjasama dengan baik untuk membangunkan Mesir.

Yaaqub selaku ayah pula tidak membenci anak-anaknya walaupun dalam kalangan mereka ada yang berhati jahat dan bertindak buruk. Dia meminta ampun untuk mereka dan memaafkan mereka semua sekali.

Banyak benar pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Yusof dan Yaaqub serta anak-anaknya. Kisah arahan masuk melalui pintu berbeza walaupun penting bukanlah persoalan pokok kepada kisah ini.

Kisah itu adalah strategi untuk mengelak keburukan, sedangkan persoalan pokok yang berkaitan dengan pintu tersebut ialah hubungan kemanusiaan yang terjalin antara dua negara melalui Yusof iaitu negara Palestin dan Mesir.

Hal ini lebih wajar ditekuni dengan mendalam dan saksama dalam konteks politik daripada sekadar menjadikan kisah itu sebagai dalil untuk menghalalkan tindakan menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Satu lagi peristiwa yang melibatkan pintu yang wujud dalam kisah Yusof ialah kisah Yusof terserempak dengan tuannya di muka pintu semasa dia melarikan diri daripada godaan isteri tuannya itu.

Kisah terserempak ini juga bukanlah kisah utama, tetapi kisah itu menjadi sebahagian daripada pemula kepada penyerlahan kemuliaan peribadi Yusof.

Berbanding orang lain, Yusof tidak mudah tergoda dan terpengaruh dengan kecantikan wanita dan kekayaannya.

Boleh saja Yusof merelakan dirinya diperangkap dengan godaan wanita cantik itu, dan peristiwa itu boleh ditutup dengan rapi kerana wanita itu kaya dan berkedudukan dalam negaranya.

Namun, wanita itu gagal menggoda Yusof. Dia akhirnya mengaku kesilapannya dan secara terbuka mengaku dirinya yang menggoda Yusof padahal pada peringkat awal dia memfitnah Yusof yang menggodanya.

Dalam sesebuah kisah, ada peristiwa yang bersifat asas dan ada peristiwa yang bersifat sampingan. Peristiwa sampingan adalah jalan atau wasilah untuk terbentuknya peristiwa asas.

Bukan mahu dikata peristiwa sampingan yang dirakam oleh al-Quran tidak penting, tetapi menonjolkan peristiwa sampingan sehingga menenggelamkan peristiwa asas yang punya pengajaran yang lebih besar adalah tindakan tidak bijak.

Lihatlah kisah Yusof dari kaca mata hubungan kemanusiaan, hubungan antara negara, hubungan hamba dan Tuhan dan hubungan langit (wahyu) dan bumi (rasul).

Kisah Yusof yang menghiburkan dari satu sudut, dan menginsafkan dari sudut yang lain perlu ditekuni dengan adil dan menyeluruh daripada sekadar menjadikannya dalil untuk mengabsahkan pembentukan sebuah kerajaan pintu belakang.

*Penulis ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional.