Teladani sifat mulia Rasulullah dalam kehidupan, kata Mujahid

Teladani sifat mulia Rasulullah dalam kehidupan, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menggariskan lima hikmah umat Islam meraikan hari kelahiran Junjungan Mulia Nabi Muhamad SAW.

Antaranya, kata beliau dengan memperingati Maulid Nabi SAW mendorong umat Islam sentiasa berselawat ke atas Baginda SAW sebagaimana diperintahkan Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 56, iaitu;

“Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atas Baginda dan ucapkanlah salam sejahtera kepadanya.”

Tambahnya, ia juga sebagai tanda memperingati kelahiran Junjungan Mulia insan terpuji yang membawa rahmah kepada sekalian alam.

“Selain meneguhkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Kita juga dapat meneladani sifat dan perbuatan mulia Rasulullah SAW dalam setiap gerak-gerik kehidupan kita. Allah SWT bersabda dalam surah Al-Ahzab ayat 21 iaitu;

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan banyaklah dia menyebut nama Allah.

“Mencontohi perjuangan Rasulullah SAW dan terus berpegang kepada pesan Baginda “Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, kalian tidak akan tersesat dengannya, Kitabullah dan sunnahKu.

“Selamat menyambut hari kelahiran Junjungan Mulia Nabi Muhmmad SAW,” tulis beliau di Facebooknya.