Telefon bomba lebih 2000 kali, alasan wanita sunyi, perlu perhatian

Oleh KIM SYAZIE

Membuat panggilan palsu kepada unit badan beruniform adalah kesalahan, apatah lagi jika anda penyebab nyawa orang lain tidak dapat diselamatkan.

Di Malaysia, panggilan palsu adalah satu kesalahan yang serius serta boleh didakwa di bawah Seksyen 233 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seorang wanita di Jepun membuat kesalahan dengan menghubungi jabatan bomba tempatan sebanyak 2,761 panggilan dalam tempoh dua tahun dan sembilan bulan.

“Saya kesepian dan mahu seseorang mendengar saya dan memberi perhatian kepada saya,” itulah alasan yang diberikan wanita tersebut.

Menurut The Straits Times yang memetik laporan The Mainichi, polis wilayah Chiba menahan Hiroko Hatagami, seorang penganggur yang tinggal di Matsudo, timur Tokyo.

Wanita itu berusia 51 tahun itu ditahan kerana disyaki membuat panggilan untuk operasi tidak berkeperluan jabatan bomba tempatan.

Hatagami juga dituduh berulang kali membuat panggilan kecemasan dari rumah dan kejiranannya.

Semasa panggilan kecemasan itu, Hatagami dikatakan mengadu pelbagai perkara termasuk mengenai sakit perut, terlebih pengambilan dadah dan sakit kaki.

Menurut laporan itu, dia meminta Jabatan Bomba Matsudo untuk menghantar ambulans ke rumahnya antara 15 Ogos 2020 dan 25 Mei tahun ini.

Namun apabila ambulans tiba, dia dilaporkan enggan diangkut malah menyatakan bahawa dia tidak membuat panggilan tersebut.

Walaupun menerima amaran daripada bomba dan balai polis supaya berhenti membuat panggilan palsu, dia tetap berbuat demikian.

Baca juga: “Ingatkan dekat Thailand” – Wanita cantik tarik perhatian walaupun hanya jual roti